Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUPP: Wajib hukumnya undi PAS untuk noktahkan judi
Diterbitkan:  Aug 13, 2026 1:09 PM
Dikemaskini: 6:59 AM
4

Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) hari ini menegaskan, langkah mewajibkan orang ramai mengundi PAS adalah satu-satunya jalan untuk memastikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi dapat dihentikan.

Penegasan badan kanan PAS itu dikeluarkan selepas Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan pembatalan arahan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi.

Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah, berkata keputusan mahkamah tertinggi negara itu secara faktanya menyatakan bahawa urusan perjudian tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, bukannya negeri.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan PAS di peringkat negeri kini telah berhabis daya, tenaga, dan menggunakan semaksimum mungkin ruang perundangan yang ada bagi menyekat kemungkaran ini.

“Segala usaha telah digembling hingga ke titik batas kuasa (limitasi) di peringkat negeri.

"Memandangkan keputusan mahkamah yang memutuskan punca kuasa sebenar membasmi judi terletak pada akta di peringkat kerajaan pusat, bebanan dan tanggungjawab ini kini telah beralih sepenuhnya ke atas bahu dan tangan pengundi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertitik tolak dari hal itu, tegasnya, jelas hukumnya adalah wajib bagi setiap pengundi Islam untuk mengundi dan menyokong PAS serta rakan kumpulannya dalam usaha mengambil alih Putrajaya.

"Hanya dengan kuasa di Putrajaya, dasar, akta, dan kelulusan lesen perjudian ini dapat dinoktahkan demi kesejahteraan rakyat seluruhnya," kata Mohd Nor.

‘Dajjal’ kerosakan terbesar

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan kerajaan Kedah mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Rhodzariah Bujang bersama-sama Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Rhodzariah memutuskan bahawa kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang diperlukan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Kerajaan Kedah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang memihak kepada ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat serta pegawai kanan mereka dalam mencabar arahan kerajaan negeri berkenaan.

Mohd Nor berkata, sebagai sebuah parti yang mendukung keluhuran undang-undang, DUPP menghormati proses perundangan dan keputusan atas asas teknikal syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Bagaimanapun, dia yang juga Speaker DUN Terengganu menegaskan, peristiwa itu sama sekali tidak melunturkan semangat perjuangan PAS dan mendakwa ia bukanlah retorik sentimen.

"Sebaliknya, ia menjadi bukti dan petunjuk paling nyata bahawa PAS amat bersungguh-sungguh, bertegas, dan berani mengambil risiko demi menghalang dan menghapuskan aktiviti perjudian.

“PAS telah menterjemahkan janji politik kepada pelaksanaan eksekutif demi mencari keredaan Allah SWT biarpun terpaksa berhadapan dengan tentangan kapitalis judi di mahkamah.

"Judi hakikatnya adalah 'dajjal kerosakan' yang paling besar dalam sistem sosial dan kewangan masyarakat pada hari ini.

“Ia adalah pemusnah institusi kekeluargaan, punca kemuflisan, pencetus jenayah, dan perosak ekonomi umat.

"Malah, amalan perjudian ini ditentang oleh semua agama dan nilai moral yang waras, bukan hanya agama Islam, kerana sifat judi itu sendiri yang menindas, zalim, mengaut keuntungan atas air mata dan kesempitan hidup orang lain, serta sama sekali tidak adil," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS