Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata bapanya mesti menumpukan perhatian kepada pembaharuan struktur gaji jika mahu menjadi perdana menteri untuk penggal kedua.

Menggulung perbahasan di penghujung kongres nasional parti itu di Melaka hari ini, Nurul Izzah berkata, ketika ini nilai gaji bersih yang diperolehi para pekerja hanya 33 peratus daripada keseluruhan upah.

Sedangkan, katanya, jumlah produktiviti pula meningkat.

“Mana pekerja tak tak rasa marah…

“Maka penggal kedua nanti, biiznillah, akan membolehkan Datuk Seri Anwar meneruskan reformasi struktural, kerana mahu tidak mahu, kalau nak pastikan peratusan (sokongan) naik, ia memerlukan dasar-dasar yang lebih mendalam khususnya untuk membina struktur gaji yang lebih adil dan memastikan kadar upah meningkat selari dengan produktiviti,” katanya.

Nurul Izzah adalah antara pemimpin PKR yang memperjuangkan penggal kedua untuk Anwar. Sebelum ini harapan itu dinyatakan Ahli Parlimen Sungai Petani merangkap Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari, yang memuji kepimpinan "cemerlang" presiden parti mereka.

Pada Jun lalu, tinjauan Merdeka Centre mendapati Anwar berada di kedudukan sebagai ahli politik paling popular, dengan penarafan kepuasan 59 peratus berbanding ketidakpuasan hati 40 peratus.

Pun begitu tahap kepuasan dalam kalangan pengundi Melayu pula berbeza dengan 51 peratus tidak berpuas hati berbanding 45 peratus berpuas hati.

Namun analisis Malaysiakini terhadap PRN Negeri Sembilan baru-baru ini mengunjurkan Anwar boleh kehilangan kerusi parlimen Tambun dalam PRU akan datang.

Hasil peratusan sokongan pengundi Cina yang rendah untuk PH, ditambah pula dengan perubahan dalam kalangan pengundi India ke arah BN, ia memberi petanda masalah kepada gabungan berkenaan.

Sokongan itu mungkin juga berpotensi terus merosot kerana kekecewaan pengundi terhadap kegagalan usaha reformasi yang dijanjikan sebelum ini.

Bercakap lebih lanjut mengenai bapanya, Nurul Izzah mempertahankan ahli politik terbabit daripada pengkritik advokasinya dalam kalangan negara-negara "dunia ketiga" atau "kurang maju".

Kata Nurul Izzah adalah hak mereka untuk tidak suka kepada kenyataan Anwar mengenai perkara itu di pentas global, tetapi ia bukanlah sebab untuk mengutuknya.

“Orang akan kata negara sendiri pun banyak masalah, kenapa sibuk dengan masalah orang lain.

“Masalahnya dunia hari ini tak membenarkan kita pilih sebegini,” katanya menunjuk kepada kesan konfik di Asia Barat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS