Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind gesa undang-undang khas jamin peruntukan sama rata semua MP

Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang khas bagi menjamin semua anggota parlimen (MP) termasuk daripada barisan pembangkang menerima peruntukan yang sama rata.

Menteri Digital itu berkata, reformasi berkenaan perlu dilaksanakan segera dan tidak boleh bergantung semata-mata kepada budi bicara kerajaan.

"Kita mahu ini menjadi reformasi kekal, bukan sekadar reformasi kerajaan," katanya kepada pemberita di KL Sentral hari ini, ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kongres Nasional PKR Ahad lalu.

Gobind yang juga anggota Parlimen Damansara turut menggesa agar undang-undang sedia ada diperkukuh bagi membolehkan perkara itu diinstitusikan secara kekal, dan bukan sekadar bergantung kepada dasar kerajaan semasa.

Katanya, DAP sebelum ini berulang kali telah membangkitkan isu tersebut kepada Anwar.

"Saya akan bangkitkan isu ini dengan beliau sekali lagi," katanya, sambil menambah bahawa kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Anwar dalam ucapan ketika sesi penggulungan kongres itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara, yang akan disalurkan terus untuk rakyat.

Perdana menteri turut menegaskan bantuan kerajaan tidak akan didiskriminasikan berdasarkan kecenderungan politik sesebuah kawasan, sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan menyekat peruntukan pembangunan kepada negeri yang ditadbir pembangkang.

Mengulas lanjut, Gobind berkata pengumuman tambahan RM1 juta tersebut wajar disambut baik kerana ia akan memberi manfaat langsung kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Namun begitu, dia menegaskan perkara yang lebih penting ialah memastikan peruntukan yang sama rata diberikan kepada semua anggota parlimen tanpa mengira parti politik.

"Dalam manifesto kami, kami menyatakan bahawa kita perlu memberikan peruntukan yang sama kepada semua anggota parlimen. Ini adalah salah satu perkara yang perlu kita laksanakan sekarang.

"Setiap wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi keperluan penduduk di situ, dan tanggungjawab itu sama bagi semua ahli parlimen tanpa mengira parti.

"Saya harap Perdana Menteri dapat mengambil langkah bagi memastikan peruntukan yang sama rata diberikan kepada semua ahli parlimen, tidak kira daripada parti politik mana sekalipun," katanya lagi.

Untuk rekod, peruntukan sama rata kepada ahli parlimen pembangkang antara janji reformasi PH sebelum menubuhkan kerajaan pada 2022. Namun, selepas kerajaan ditubuhkan isu tuntutan peruntukan sama rata antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang mula dibangkitkan oleh PN

Anwar menegaskan dia bersikap terbuka dan bersedia memberi peruntukan kepada MP pembangkang, namun mensyaratkan proses rundingan perlu dijalankan terlebih dahulu menerusi Ketua Whip kedua-dua pihak.

Pada 2023, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof ditugaskan memimpin rundingan dengan pembangkang. Walau bagaimanapun, rundingan kerap tertangguh kerana kegagalan mencapai kesepakatan mengenai syarat Memorandum Persefahaman (MoU).

Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk merangka draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan bagi diagihkan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang.

Namun, pada Sept 2024, pembangkang (PN) secara rasmi menolak draf MoU peruntukan yang dikemukakan kerajaan. Antara alasan penolakan termasuk didakwa mengandungi syarat yang ketat (termasuk isu pengisytiharan harta, sokongan kestabilan kerajaan, dan had isu 3R). Kerajaan pula menegaskan syarat tersebut adalah standard bagi proses kebertanggungjawaban.

Isu terus dibangkitkan di Parlimen di mana PM menyarankan kepimpinan pembangkang kembali ke meja rundingan dan membuat keputusan bersama jika mahu menyelesaikan kemelut tersebut secara menyeluruh.

Pada Mei 2026 timbul dakwaan beberapa Ahli Parlimen khususnya adari PKR mengalami gangguan atau penutupan akses kepada sistem portal pengurusan peruntukan kawasan (MyKhas).

Kemelut isu peruntukan semakin panas apabila beberapa MP pembangkang serta sebilangan wakil rakyat penyokong kerajaan menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung penarikan/sekatan peruntukan melalui sistem MyKhas.

Anwar mempertahankan langkah ini dengan menyatakan bahawa peruntukan adalah untuk kebaikan rakyat dan bukan "hak eksklusif" seseorang Ahli Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS