Ramanan: Projek pusat data Kota Damansara ditangguh
Pemaju di sebalik cadangan pembinaan pusat data di Kota Damansara menarik balik permohonan kebenaran merancang yang dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sekali gus menyebabkan projek itu ditangguhkan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan memaklumkan dia menerima perkembangan terbaru mengenai perkara itu daripada MBPJ.
“Sejak awal, pendirian saya jelas. Saya bukan menolak pembangunan atau pelaburan, tetapi bagi pembangunan berskala besar yang berpotensi memberi kesan kepada kehidupan penduduk setempat, rakyat mesti diberikan ruang untuk didengari.
“Apabila rakyat menyuarakan kebimbangan yang berasas, menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk membawa suara mereka kepada pihak berkuasa. Dalam soal kesejahteraan rakyat, kita tidak boleh berkompromi,” katanya seperti dipetik Bernama.
Ramanan pada 17 Julai lalu turut dipetik Bernama berkata cadangan projek pusat data itu akan dibawa ke kabinet untuk dibincangkan susulan kebimbangan yang dibangkitkan penduduk setempat.
Dia berkata bantahan rasmi terhadap cadangan itu turut dikemukakan menerusi surat kepada Datuk Bandar Petaling Jaya Zahri Samingon pada 15 Julai namun mendakwa belum menerima sebarang maklum balas rasmi.
Pada 27 Julai, bantahan terhadap rancangan itu semakin memuncak selepas penduduk menyerahkan memorandum kepada MBPJ yang menggesa projek berkenaan ditangguhkan atas kebimbangan berkaitan alam sekitar dan komuniti.
Memorandum yang ditujukan kepada Zahri itu diserahkan oleh Adun Kota Damansara Izuan Kasim bersama penduduk, ahli majlis tempatan dan Ramanan.
Izuan berkata bantahan itu bukan hanya datang daripada penduduk yang tinggal paling hampir dengan tapak cadangan pembangunan, sebaliknya mencerminkan kebimbangan masyarakat yang lebih luas.
Selepas memorandum itu diserahkan, Izuan berkata MBPJ memaklumkan kumpulan berkenaan bahawa cadangan tersebut masih melalui proses bantahan berkanun.
Penduduk turut mengkritik proses pemberitahuan awam MBPJ dengan mendakwa banyak isi rumah tidak mengetahui mengenai cadangan itu sehingga tempoh bantahan hampir berakhir.
Bagaimanapun, MBPJ melalui kenyataan kepada StarMetro, berkata tempoh rundingan awam dilanjutkan dari 21 hingga 27 Julai selepas kesilapan ditemukan pada papan notis asal.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/73bc45513af80a8ab88c3377a6c274af.jpg)
