Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berhubung isu kuorum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebagai pandangan peribadi yang seolah-olah memandang rendah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Ahmad Faizal yang juga bekas menteri besar Perak berkata Takiyuddin telah mengulas peruntukan Perlembagaan Bersatu berkaitan jumlah keanggotaan MPT dan kuorum mesyuarat.
Namun, katanya Takiyuddin pada masa sama mengakui perkara itu merupakan tafsiran pihak yang membuat aduan dan perlu ditentukan ROS.
"Jika diteliti pula pandangan dan kenyataan beliau tersebut, kita akan nampak betapa beliau memandang rendah pihak ROS.

"Mungkin pada beliau, ROS ini bodoh dan hanya beliau yang pandai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Takiyuddin berhubung aduan empat ahli parlimen Bersatu kepada ROS pada 13 Julai lalu yang mempersoalkan sama ada MPT parti itu masih mempunyai kuorum untuk bermesyuarat.
Berdasarkan aduan tersebut, Bersatu didakwa hanya mempunyai 23 daripada 49 anggota MPT, iaitu dua orang kurang daripada kuorum 25 anggota mengikut tafsiran pengadu terhadap Perlembagaan Bersatu.
Takiyuddin malam tadi dilaporkan berkata MPT Bersatu terdiri daripada 49 anggota dan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu diperlukan bagi membentuk kuorum.
Takiyuddin tak sempat solat Jumaat
Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata perkara itu merupakan tafsiran empat ahli parlimen terbabit dan perlu ditentukan ROS.
Menurut Takiyuddin, susulan aduan itu, dia selaku setiausaha agung PN menghantar surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung Bersatu pada 14 Julai bagi mendapatkan penjelasan dalam tempoh dua hari.
Sementara itu, Ahmad Faizal menggesa siasatan segera dibuat berhubung dakwaan bahawa sesi Takiyuddin memberi keterangan kepada ROS berlangsung terlalu lama sehingga dia tidak sempat menunaikan solat Jumaat.

"Kita amat berharap agar satu siasatan dibuat dengan segera atas tuduhan soal siasat yang terlalu lama sehingga memaksa pegawai penyiasat dan Datuk Seri Takiyuddin tidak sempat ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat," katanya.
Menurut Ahmad Faizal, dakwaan berkenaan serius dan tidak seharusnya dipandang ringan.
"Tuduhan yang serius dan mesti diambil berat," katanya.
Takiyuddin sebelum ini berkata dia dipanggil memberi keterangan kepada ROS selama kira-kira empat jam berhubung aduan Bersatu mengenai tindakan PN tidak melibatkan parti itu dalam rundingan calon bagi Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.
Menurutnya, Bersatu tidak dipanggil menghadiri mesyuarat rundingan calon PN pada 16 Julai selepas presiden parti itu mengumumkan mahu menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya berkenaan.
