Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saravanan didakwa terima rasuah hampir RM1.1 juta

Bekas Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, hari ini mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM1 juta bagi meluluskan kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat pada 2022.

Dia yang juga Timbalan Presiden MIC didakwa menerima RM1,097,000 dalam tiga transaksi berbeza sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd (TYKB Engineering).

Syarikat itu memohon untuk mendapatkan 1,000 kuota pekerja asing.

Saravanan kemudian meminta untuk dibicarakan terhadap semua pertuduhan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan kes disebut di hadapan hakim Azura Alwi

Kertas pertuduhan memperincikan bahawa pada 16 Jun 2022 Saravanan menerima wang tunai RM150,000 di Bukit Jalil Golf & Country Resorts.

Pada 7 Julai tahun itu pula, Ahli Parlimen Tapah selama empat penggal itu didakwa menerima wang tunai RM350,000 serta sekeping cek bernilai RM597,000.

Kesalahan berkaitan wang tunai itu didakwa berlaku di Jalan Telawi 3 di Bangsar, manakala cek berkenaan dimasukkan ke akaun syarikat Big Seven Ventures Sdn Bhd di Maybank cawangan Jalan Klang Lama.

Sarvanan, 58, didakwa menerima wang tersebut daripada Syed Amirul Syed Ahmad yang membuat pembayaran bagi pihak pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, yang akan meluluskan permohonan TYKB Engineering.

Perlu pasport ke India

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda tidak lebih daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 – bergantung kepada mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin mencadangkan mahkamah mempertimbangkan jaminan RM800,000, serta merampas pasport Saravanan.

Dia juga mencadangkan dua syarat jaminan tambahan iaitu mahkamah memerintahkan Saravanan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sekali setiap tiga bulan, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Bagaimanapun peguam Saravanan, Geethan Ram Vincent, merayu agar ikat jamin ditetapkan pada jumlah yang lebih rendah iaitu RM300,000 serta membantah cadangan pihak pendakwaan yang mahu pasport tertuduh dirampas.

“Anak guam saya bukanlah seorang yang berisiko melarikan diri kerana dia seorang ahli parlimen yang sentiasa menghadiri sidang parlimen.

“Dia bertekad untuk membersihkan namanya dan hari ini dia hadir di mahkamah seperti yang diarahkan oleh SPRM bagi membuktikan komitmennya untuk menghadapi pertuduhan tersebut.

“Dia juga memerlukan pasportnya untuk pergi ke India untuk pemeriksaan kesihatan berkala di Hospital Apollo Chennai,” katanya.

Oleh itu, tambah Geethan Ram, tiada kemungkinan untuk Saravanan melarikan diri.

Hakim kemudian memerintahkan ikat jamin ditetapkan pada RM450,000 dengan seorang penjamin, serta Saravanan melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan, seperti yang dicadangkan oleh Julaila.

Mahkamah juga menetapkan 29 September untuk pengurusan kes.

Semalam Saravanan memberitahu Malaysiakini dia menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan “liar dan tidak berasas” SPRM terhadapnya.

Dia juga mendakwa ada individu tertentu telah dipaksa untuk mengaitkannya dalam pertuduhan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS