Perjalanan lebih sejam meredah jalan balak di Sabah Softwoods Berhad, Tawau, Sabah pada mulanya kelihatan seperti lawatan biasa ke tapak konservasi.
Namun sebaik memasuki kawasan penanaman rumput napier, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kami berhenti secara mengejut.

Di hadapan kami, sekumpulan gajah Borneo sedang meragut rumput dengan tenang. Bukan seekor.

Malah sepanjang perjalanan pergi dan pulang, kami bertembung dengan tiga kumpulan gajah.

Bagi ramai orang, gajah liar sering dikaitkan dengan konflik manusia dan hidupan liar.

Namun di kawasan itu, kehadiran haiwan berkenaan sebenarnya menjadi petunjuk bahawa satu pendekatan baru terhadap konservasi sedang diuji.
Rumput napier yang ditanam di situ bukan untuk ternakan seperti yang lazim dilihat di Semenanjung, tetapi sebagai sumber makanan bagi gajah Borneo.

Sebelum lawatan ini, penulis menyangka rumput yang sering dilihat diragut lembu di kawasan kediamannya hanyalah lalang biasa.

Hanya apabila tiba di Sabah Softwoods, barulah diketahui ia sebenarnya rumput napier.
Bezanya, di sini rumput itu bukan ditanam untuk ternakan, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi konservasi bagi menyediakan sumber makanan kepada gajah Borneo.
Tujuannya adalah untuk membentuk koridor hidupan liar yang menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang dan Ulu Segama, sekali gus menggalakkan haiwan itu menggunakan laluan yang lebih selamat dan mengurangkan konflik dengan manusia.
Ketika berada di situ, penulis juga turut dimaklumkan cara membaca tingkah laku gajah.
Apabila telinganya dikembangkan, ia menandakan haiwan itu sedang berasa terancam atau cuba kelihatan lebih besar. Sebaliknya, apabila telinganya digoyangkan perlahan, ia biasanya berada dalam keadaan tenang.

Lawatan itu menjadi pengenalan pertama kepada falsafah yang cuba diketengahkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bahawa konservasi bukan lagi sekadar menghalau hidupan liar keluar dari kawasan ladang, tetapi mengurus landskap supaya manusia dan hidupan liar boleh berkongsi ruang dengan lebih selamat.
Namun projek koridor gajah hanyalah satu daripada beberapa inisiatif yang sedang dijalankan.
Mengubah naratif
Selama beberapa dekad, industri sawit Malaysia menjadi antara sasaran utama kempen alam sekitar antarabangsa yang mengaitkannya dengan penebangan hutan, kehilangan habitat hidupan liar dan kemerosotan biodiversiti.
Di Sabah, MPOGCF kini cuba mengubah naratif itu.
Melalui pelaburan kira-kira RM28 juta, yayasan itu membiayai projek restorasi hutan selama sedekad di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua, Lahad Datu.

Matlamatnya ialah memulihkan 2,500 hektar hutan terosot menerusi penanaman satu juta pokok spesies tempatan, di samping menghubungkan semula habitat orang utan, gajah Borneo dan pelbagai spesies lain.

Namun projek itu bukan sekadar mengenai penanaman pokok.
Persoalan yang lebih besar ialah sama ada industri sawit mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada krisis biodiversiti.
Keesokan harinya, perjalanan diteruskan ke Lower Kawag.
Hampir dua jam kami menaiki pacuan empat roda menyusuri laluan hutan yang mencabar sebelum tiba di kawasan restorasi.

Sebaik memasuki kawasan hutan simpan, liputan telefon hilang sepenuhnya.
Namun ketiadaan isyarat komunikasi tidak terasa mengganggu. Kanopi hutan yang menutupi cahaya matahari, bunyi unggas dan suasana yang hampir tidak terusik manusia menjadikan perjalanan itu sesuatu yang sukar dilupakan.

Di sepanjang laluan, beberapa sarang orang utan masih kelihatan di celah-celah pokok.

Difahamkan bahawa orang utan juga lazimnya membina sarang baru hampir setiap malam dan jarang menggunakan sarang yang sama secara berulang.

Di kawasan inilah kesan pembalakan dan kebakaran besar akibat fenomena El Nino masih dapat dilihat.

Menurut Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Daniel Pamin, kawasan yang terlalu lama dibalak kehilangan sebahagian besar sumber benih semula jadi, manakala tanah yang semakin kurang subur serta pertumbuhan rumpai invasif menyebabkan proses regenerasi hutan menjadi terlalu perlahan.
Campur tangan manusia
Pegawai Perhutanan Daerah (DFO) Ulu Segama-Malua, Jackly Ambrose berkata walaupun hutan hujan mampu pulih secara semula jadi, campur tangan manusia juga diperlukan apabila kerosakan menjadi terlalu serius.

"Hutan hujan memang mampu pulih secara semula jadi, tetapi apabila sesuatu kawasan terlalu terosot, campur tangan manusia diperlukan untuk mempercepatkan proses itu," katanya.
Namun pemulihan itu sendiri memerlukan strategi.
Pemulihan hutan tidak bermula dengan menanam spesies kayu keras.
Sebaliknya, spesies perintis seperti laran, binuang dan talisai paya ditanam terlebih dahulu kerana cepat membesar dan membentuk teduhan.
"Kita tidak boleh terus menanam spesies kayu keras kerana ia memerlukan teduhan. Pokok perintis menyediakan keadaan yang sesuai untuk spesies lain tumbuh kemudian," kata Daniel.
Hanya selepas itu spesies seperti Seraya dan Kapur diperkenalkan bagi membentuk semula struktur asal hutan hujan tropika Borneo.
Ketika lawatan ke kawasan restorasi itu, penulis turut diberi peluang menanam anak pokok Urat Mata Beludu (Parashorea sp), salah satu spesies dipterokarpa yang menjadi komponen penting hutan hujan Borneo.

Pokok itu mungkin mengambil masa puluhan tahun untuk matang, jauh melepasi tempoh projek restorasi yang sedang dijalankan hari ini.

Usaha memulihkan hutan tidak hanya bergantung kepada saintis atau agensi kerajaan.

Di Kampung Tampenau, penduduk setempat mengumpul benih pokok hutan sebelum disemai di tapak semaian komuniti.

Apabila anak pokok mencapai ketinggian sesuai, ia dijual kepada MPOGCF untuk ditanam di kawasan hutan yang terosot.

Sejak program itu bermula, komuniti berkenaan telah menghasilkan kira-kira 80,000 anak pokok spesies tempatan.
Penduduk turut menerima bayaran bagi setiap anak pokok yang berjaya dibesarkan, menjadikan konservasi bukan sahaja usaha memulihkan alam tetapi turut memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.
Perjalanan ke Sabah diakhiri di Sandakan.
Konservasi yang bukan lagi sekadar selamatkan haiwan
Selain mengunjungi Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, kami turut melawat Projek Beruang Matahari Tabin.
Di situ, anak beruang yang diselamatkan tidak terus dilepaskan ke hutan.

Sebaliknya, ia menjalani program soft release, iaitu dibesarkan terlebih dahulu di habitat semula jadi di bawah pemantauan sebelum dilepaskan sepenuhnya apabila mampu hidup berdikari.
Pendekatan itu mencerminkan perubahan falsafah konservasi yang bukan lagi sekadar menyelamatkan haiwan, tetapi memastikan ia benar-benar dapat kembali menjadi sebahagian daripada ekosistem.

Sepanjang tiga hari di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, jelas bahawa usaha konservasi di Sabah bukan sekadar mengenai jumlah pokok yang ditanam atau keluasan hutan yang dipulihkan.
Ia melibatkan perubahan cara manusia melihat hubungan mereka dengan alam.
Gajah tidak lagi dilihat sebagai haiwan yang perlu dihalau semata-mata.
Penduduk kampung pula bukan sekadar tinggal di pinggir hutan, tetapi menjadi sebahagian daripada usaha memulihkannya.
Sama ada model konservasi yang dibiayai industri ini mampu mengubah persepsi dunia terhadap sektor sawit masih terlalu awal untuk dipastikan.
Namun di Lower Kawag dan Sabah Softwoods, perubahan itu sudah pun bermula.
Ia bermula dengan sebatang anak pokok yang ditanam semula, sekumpulan gajah yang kembali menggunakan koridor hidupan liar dan komuniti setempat yang kini menjadi sebahagian daripada usaha memulihkan hutan.
Sama ada pendekatan itu mampu mengubah persepsi dunia terhadap industri sawit masih terlalu awal untuk dipastikan.
Tetapi di tengah-tengah hutan Sabah, benih kepada perubahan itu sudah pun disemai.
SHAKIRA BUANG adalah anggota sidang redaksi Malaysiakini.
Tulisan ini bagaimanapun tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.
