Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: PRU diadakan awal atau tidak, PAS 'biasa saja'

MUKTAMAR PAS | Abdul Hadi Awang menegaskan partinya sentiasa bersedia untuk berdepan PRU ke-16 bila-bila masa sahaja sementelah amalan di sini berbeza dengan sesetengah negara.

Presiden PAS itu juga berkata, pihaknya juga menyerahkan soal tarikh pilihan raya itu kepada kerajaan persekutuan.

“Kita membuat persediaan, bila-bila masa sahaja. Terpulang kepada kerajaan.

“Kita pernah mengalami di Malaysia ini tak diberitahu, negara lain beritahu (tarikh) awal,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) ke-65 di Kota Bharu, hari ini.

Dia dipercayai merujuk kepada sesetengah negara – termasuk dalam kalangan Asia Tenggara – yang memaklumkan tarikh PRU lebih awal bagi membolehkan semua parti membuat persediaan sepatutnya.

Di negara ini, kerajaan biasanya membubarkan parlimen atau DUN – di peringkat negeri – secara mengejut, atau sekurang-kurangnya tidak menyatakan secara jelas bila langkah berkenaan mahu diambil.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berpendapat lebih baik PRU ke-16 diadakan lebih awal.

Pengerusi BN itu dilaporkan pihaknya mengambil pendirian bahawa adalah lebih baik PRU ke-16 diadakan sebelum menghampiri tempoh penggal parlimen yang sepatutnya berakhir pada hujung tahun depan.

Katanya, langkah sedemikian akan membolehkan mandat mentadbir kerajaan Persekutuan dapat diperoleh kembali daripada rakyat.

Sementara itu ditanya sejauh mana cadangan pilihan raya diadakan lebih awal yang memberi kelebihan kepada PAS, Abdul Hadi tidak mengulas secara terperinci.

Dia bagaimanapun beranggapan situasi itu perkara biasa bagi PAS.

“Kita biasa saja,” katanya ringkas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS