Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang dikaitkan dengan penjualan hartanah di Singapura menyifatkan cukai yang dikenakan bagi tujuan itu adalah perkara biasa.
Malah, Tunku Mahkota Ismail bertitah, sebagai seorang pembayar cukai biasa, baginda berbesar hati untuk menyumbang kepada kedua-dua negara.
"Sebagai pembayar cukai biasa, perkara ini adalah normal. Tiada masalah dan saya lebih daripada berbesar hati untuk menyumbang kepada kedua-dua negara.
"Malah, sepatutnya jumlahnya digandakan," titah baginda di platform X.
Tunku Ismail mengulas laporan Bloomberg yang memetik rancangan seorang kerabat diraja dari Malaysia untuk menjual tanah miliknya di Singapura, dengan jumlah cukai melebihi AS$1 bilion.
Laporan berkenaan turut menyertakan wajah baginda pada artikel berkenaan.
Menurut laporan Bloomberg, yang memetik sumber, cukai yang dikenali sebagai caj peningkatan nilai tanah (Land Betterment Charge) menjadi batu penghalang dalam rundingan antara beberapa bakal pembeli dengan pemilik semasa tanah berkenaan.
Menurut sumber berkenaan, pemilik tanah itu mahu mana-mana pembeli menanggung bayaran cukai tersebut.
Sumber berkenaan meminta identitinya dirahsiakan kerana maklumat berkenaan adalah bersifat peribadi.
Cukai itu dikenakan apabila kerajaan memberikan kebenaran perancangan atau kelulusan lain yang meningkatkan nilai sesebuah tanah.
Menurut laporan itu, berdasarkan anggaran tiga penganalisis hartanah tempatan, jumlah cukai berkenaan mungkin melebihi S$2 bilion (AS$1.6 bilion atau kira-kira RM6.35 bilion).
Cukai itu dikatakan kemungkinan menjadi halangan bagi urus niaga hartanah yang mungkin antara yang terbesar pernah berlaku di Singapura.
Tunku Mahkota Ismail didakwa sedang berusaha menjual tanah seluas 16.6 hektar (41 ekar), termasuk sebahagian tanah yang diperolehnya melalui pertukaran tanah dengan kerajaan Singapura pada 2025.
Pertukaran tanah tersebut membolehkan mana-mana hartanah yang dibangunkan di atas tanah miliknya dibina lebih jauh dari Singapore Botanic Gardens, yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
