Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Disepina tapi disuruh balik: Bekas ketua audit pertikai versi RCI
Diterbitkan:  Sep 4, 2026 9:14 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Bekas ketua audit negara Madinah Mohamad mendakwa dia hadir dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) selepas menerima sepina namun disuruh pulang tanpa dipanggil memberi keterangan.

Madinah dipetik BH Online berkata dia tidak pernah diminta untuk memasuki bilik prosiding RCI bersama timbalan pengarah Bahagian Audit Kewangan Jabatan Audit Negara ketika itu, Mona Othman.

Sebaliknya, Madinah menjelaskan Mona menemaninya di luar bilik prosiding untuk “bersiap sedia” sekiranya panel memerlukan sebarang maklumat teknikal tambahan.

Madinah berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Pengerusi TH sekarang, Abdul Rashid Hussain, yang juga anggota RCI berkenaan. Dia menyifatkan versi Rashid mengenai kejadian itu sebagai tidak tepat.

“Tidak tepat kenyataan itu kerana saya tidak pernah minta untuk hadir dalam bilik prosiding bersama Dr Mona sebaliknya Dr Mona hanya 'standby' di luar sekiranya ada soalan berkaitan bentuk teknikal.

"Tidak pernah saya minta untuk masuk ke dalam bilik prosiding bersama Dr Mona. Ketika itu (petugas) sekretariat keluar daripada bilik prosiding dan memaklumkan saya tidak perlu masuk dan meminta saya balik.

"Sekiranya benar tak boleh bawa Dr Mona masuk, mengapa tak dimaklumkan kepada saya dan hanya saya disuruh pulang. Apabila saya tanya mengapa? Beliau menyatakan tidak pasti," kata Madinah lagi.

Semalam, Rashid mencabar dakwaan Madinah sebelum ini bahawa RCI tidak pernah memanggilnya untuk memberi keterangan. Rashid berkata Madinah sebenarnya telah disepina dan diminta hadir di hadapan suruhanjaya itu pada 3 Jun 2022.

Menurutnya, Madinah meminta untuk menghadiri prosiding bersama Mona — permintaan yang ditolak suruhanjaya berkenaan.

“Bagaimanapun, mengikut tatacara prosiding RCI, kita meneliti keterangan saksi secara berasingan dan atas dasar itu permintaan tersebut (memberi keterangan bersama Mona) tidak dibenarkan,” katanya.

Rashid turut berkata RCI memberi Madinah peluang untuk memberikan jawapan bertulis kepada 75 soalan daripada suruhanjaya itu, yang dikemukakannya dalam bentuk akuan berkanun.

Bagaimanapun, Madinah memberitahu BH Online dia menerima sepina untuk memberi keterangan di hadapan anggota RCI dan atas dasar itu hadir ke prosiding berkenaan.

Berhubung tawaran RCI supaya dia menjawab 75 soalan secara bertulis, Madinah menegaskan jawapan bertulis tidak boleh menggantikan keterangan lisan.

“Memang saya ada beri afidavit tetapi tidak boleh menggantikan hujah lisan. Mereka perlu dengar apa yang saya perlu katakan,” katanya.

Madinah sebelum ini berkata perbezaan RM4.8 bilion antara penemuan Jabatan Audit Negara dengan penilaian TH oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) tidak seharusnya dianggap sebagai bukti kegagalan jabatan itu.

Katanya, perbezaan berkenaan perlu dilihat dalam konteks perbezaan dari segi mandat, skop, tempoh rujukan dan kaedah penilaian.

Menurut Madinah, angka yang berbeza itu tidak bermakna Jabatan Audit Negara terlepas pandang kerugian atau PwC terlebih menilainya. Sebaliknya, angka berbeza boleh terhasil apabila asas penilaian yang berlainan digunakan.

Katanya, Jabatan Audit Negara menjalankan audit berdasarkan mandat berkanunnya, selain undang-undang dan piawaian perakaunan yang berkuat kuasa ketika penyata kewangan berkenaan disediakan.

“"Atas sebab itu, tidak wajar perbezaan itu terus dijadikan kesimpulan kredibiliti Jabatan Audit Negara terjejas atau seluruh pengauditan oleh Jabatan Audit Negara selama ini perlu dipertikai.

"Kerja audit perlu dinilai berdasarkan undang-undang, mandat dan piawaian yang berkuat kuasa pada ketika ia dilaksanakan. Menilai audit terdahulu menggunakan piawaian atau pendekatan yang muncul kemudian adalah tidak wajar,” katanya.

Madinah sebelum ini turut mendakwa dia dinafikan peluang untuk didengar walaupun bersedia berdepan panel RCI.

Katanya, dia sudah tiba di lokasi prosiding dan menunggu lebih 30 minit, tetapi namanya tidak pernah dipanggil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS