Istilah “eksploitasi agama” lebih tepat dan objektif bagi menggambarkan perbuatan menyalahgunakan agama demi kepentingan dunia berbanding istilah “menunggang agama”, kata Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil.
Beliau berkata istilah “menunggang agama” tidak wajar digunakan secara berleluasa kerana boleh membawa generalisasi terhadap golongan agamawan, termasuk ulama, pendakwah dan asatizah yang ikhlas memperjuangkan syiar Islam.
Ahmad Fauwaz berkata istilah “eksploitasi agama” lebih memfokuskan kepada perbuatan menyalahgunakan agama untuk memperoleh harta, pengaruh atau kedudukan, selain menggambarkan dengan lebih jelas wujudnya pihak yang mengambil kesempatan dan pihak yang diperdaya.
“Sebaliknya, istilah ‘menunggang’ mempunyai konotasi negatif, kasar dan cenderung membawa unsur sindiran serta tuduhan peribadi terhadap pelaku.
“Istilah ‘eksploitasi agama’ lebih tepat menggambarkan struktur hubungan kuasa dalam fenomena berkenaan, iaitu wujudnya pihak yang mengambil kesempatan (mengeksploitasi) dan pihak yang dieksploitasi (orang awam yang tertipu atau diperdaya), sejajar dengan makna sebenar dalil al-Quran dan Sunah,” katanya dalam ruangan Tinta Mufti terbitan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Ahmad Fauwaz berkata perbuatan mengeksploitasi agama sememangnya dilarang dan dikecam dalam al-Quran, antaranya menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah dan Surah al-Baqarah, iaitu kedua-dua ayat berkenaan menunjukkan bentuk eksploitasi agama yang berlaku apabila agama dimanipulasi sebagai alat mendapatkan harta dan kepentingan dunia, suatu perbuatan yang tercela kerana mempermainkan nama Allah SWT demi keuntungan peribadi.
Beliau berkata Rasulullah SAW turut memberikan peringatan mengenai golongan yang menggunakan agama untuk memperdaya manusia demi kepentingan dunia sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Tirmidzi bermaksud: “Akan keluar pada akhir zaman sekelompok lelaki yang memperdaya manusia dengan menggunakan agama untuk mendapatkan dunia... lidah mereka lebih manis daripada gula-gula, sedangkan hati mereka adalah hati serigala.”
Ahmad Fauwaz berkata hadis itu menggambarkan individu yang menampilkan diri sebagai alim dan warak bagi meraih kepercayaan masyarakat, sedangkan agama dijadikan topeng untuk mendapatkan wang, pengaruh atau kedudukan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terperdaya dengan penampilan luaran, sebaliknya menyelidik sebelum memberikan kepercayaan, harta atau ketaatan kepada mana-mana individu yang menggunakan agama sebagai alat kepentingan diri.
Pada masa sama, beliau mengingatkan golongan yang terlibat dalam dakwah, ilmu dan kerja agama supaya sentiasa menjaga keikhlasan serta melaksanakan amanah semata-mata kerana Allah SWT dan demi memperoleh keredaan-Nya.
- Bernama
