mk-logo
Berita
'Terimalah padahnya' jika tolak MIC
Diterbitkan:  Feb 28, 2008 10:29 AM
Dikemaskini: 3:35 PM

MIC hari menyiarkan siri kedua iklan dengan nada amaran "jika anda tidak mengundi MIC, terimalah padahnya", khusus untuk pengundi atasan masyarakat India itu.

Iklan sehalaman penuh berbunyi, antara lain, pengundi India akan "kacau bilau" jika menyokong PAS dengan membandingkan keadaan di Kelantan yang kini ditadbir parti Islam itu.

"Undi PAS dan lihat apa yang jadi pada Kelantan. Begitulah nasib kawasan anda lima tahun akan datang.

"Jika anda fikir anda tidak maju bersama MIC, jadi fikirkanlah bagaimana kacau bilau kehidupan anda bawah pentadbiran PAS," iklan itu, dalam huruf besar berwarna merah, dipetik.

Ia dimuatkan di akhbar-akhbar The Star dan New Straits Times hari ini. Iklan siri pertama muncul semalam di dua akhbar tersebut.

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu semalam berkata parti itu akan memuatkan empat siri iklan untuk kelas atasan komuniti itu yang tidak membaca akhbar berbahasa Tamil.

Iklan hari ini juga menyebut, jika pengundi tidak memilih calon MIC, anak-anak mereka akan terjejas peluang untuk menghayati bahasa Tamil, agama Hindu dan pendidikan.

Ia juga menyatakan, sokongan kepada pembangkang hanya bermakna "undi untuk kata-kata manis" tanpa tindakan nyata.

"Undi untuk MIC bererti satu undi positif untuk tindakan dan penyelesaian. Setiap orang India masuk tidur setiap hari dengan menyedari MIC ada sebagai rakan 'yang tidak nampak' dan boleh membantu," iklan itu dipetik.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS