Barisan Nasional hari ini menafikan sekeras-kerasnya cuba membeli calon-calon PKR di Sarawak, kata satu panel peguam BN Sarawak.

Panel itu, yang dianggotai senator Datuk Idris Bujang dan Datuk Peter Minos, mendesak pengerusi perhubungan PKR Sarawak Dominic Ng Kim Ho agar menunjukkan bukti bahawa calon-calon parti pembangkang itu di Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Julau dan Lawas cuba dibeli agar menarik diri.

Ng, penyandang kerusi negeri Padungan, sebelum ini berkata beliau akan melaporkan rasuah yang berjumlah hampir RM1.5 juta kepada Badan Pencegah Rasuah.

“Kemenangan lima calon BN menjadi bukti kukuh betapa BN itu kuat dan yakin akan meraih lebih banyak kemenangan tanpa perlu menggunakan kegiatan sekeji itu," kata panel itu dalam sidang media di Kuching, lapor laman web The Star .

Malaysiakini semalam melaporkan calon PKR di Santubong, Rahamat Idil Latip, mendakwa beliau didekati untuk dibeli dengan wang tunai RM300,000.

Sementara calonnya di Kota Samarahan, Hussain Abang Apok, pula mendakwa diugut kerana enggan menyertai proses rundingan untuk penarikan diri.

Beliau telah melaporkan kejadian itu kepada polis dan kini dalam proses siasatan.

BN Sarawak memperolehi lima kerusi tanpa bertanding sejak hari pencalonan Ahad lalu. Kelima-lima kerusi itu:

bullet button Norah Abdul Rahman - Tanjung Manis, Sarawak (PBB)

bullet button Datuk Wahab Dolah – Igan (PBB)

bullet button Aaron Ago Dagang - Kanowit, Sarawak (PRS)

bullet button Joseph Entulu Belaun - Selangau, Sarawak (PRS)

bullet button Alexander Nanta Linggi - Kapit, Sarawak (PBB)

Timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali juga mendakwa calon-calon parti itu didekati pihak-pihak yang cuba mendesak mereka menarik diri dengan ganjaran wang sehingga RM1 juta.