Pandithan tenat, kata IPF
Para pemimpin parti Barisan Progresif India (IPF) hari menafikan khabar angin bahawa pengasas parti itu, Tan Sri MG Pandithan telah meninggal dunia.
Mereka berkata, Pandithan, yang mengalami penyakit leukemia darah sejak lebih setahun lalu, sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
“(Khabar angin itu) tidak benar. Beliau ok," kata Timbalan Presiden IPF, V Senggutuan ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, khabar angin tersebut, yang disebarkan melalui SMS, dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengganggu parti tersebut, yang kini mengalami pergolakan dalaman, dan wujud berbagai puak.
Beliau berkata, Pandithan dalam pemerhatian rapi di hospital tersebut.
“Beliau tidak meninggal dunia. Kami tentunya memberitahu anda jika berlaku perkara seumpama itu," tambahnya.
Pemimpin IPF yang lain turut mengesahkan bahawa Pandithan masih hidup dalam dalam keadaan tenat.
Tenat
Keluarga Pandithan juga mengesahkan bahawa beliau kini bernafas dengan bantuan mesin.
“Jika anda bertanya sama ada beliau boleh berjalan atau bercakap, jawapannya tentulah tidak. Tetapi beliau sedar apa yang berlaku di sekitarnya," kata seorang anak saudaranya yang dikenali seagai Puan Raju.
Menurut beliau, dua tiup disambung ke bahagian kerongkongnya dan beliau diberi minuman susu.
“Beliau juga menjalani dialisis (pembersihan darah) selang sehari," katanya.
Malaysiakini juga bercakap dengan seorang individu yang melawat Pandithan pagi ini.
“Selepas menerima SMS tersebut, saya terus pergi melawatnya. Tiada siapa menemani beliau ketika saya tiba di sana.
“Beliau masih bernafas tetapi kelihatan lemah. Beliau masih hidup tetapi saya rasa beliau hanya membilang hari," kata beliau tetapi enggan namanya disiarkan.
Mengapa berahsia?
Seorang pemimpin satu kumpulan serpihan IPF, K Panjamoorthy bagaimanapun kecewa kerana keadaan kesihatan Pandithan dirahsiakan.
“Mengapa tidak kepimpinan parti mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan keadaan atau memaklumkan kepada semua pihak mengenai keadaan Pandithan,"? soalnya.
Katanya, langkah tersebut akan dapat mengelak berlaku sebarang kekeliruan mengenai diri Pandithan.
SMS yang disebarkan itu menyatakan Pandithan telah meninggal dunia Khamis lalu dan kematiannya dirahsiakan supaya tidak mengganggu tumpuan kempen parti itu membantu calon BN.
Guna mesin
Manakala pihak lain berkata Pandithan hanya bergantung kepada mesin dan dihentikan selepas pilihanraya umum esok.
Bagaimanapun beberapa pemimpin parti mempertikaikannya dan berkata kematian Pandithan tidak akan memberi sebarang kesan terhadap pilihanraya umum.
Pandithan menubuhkan IPF pada 1990 selepas beliau dipecat dari MIC selepas tidak sehaluandengan presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu. Ketika itu Pandithan merupakan naib presiden MIC.
Bagaimanapun Julai tahun lalu, mereka berpelukan dan bermaafan dan mahu parti mereka bekerjasama untuk kebaikan masyarakat India di negara ini.
Dua minggu lalu, Pandithan mengeluarkan kenyataan kepada media bahasa Tamil, menyokong Samy Vellu memimpin masyarakat India di Malaysia.

