Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir minta PM letak jawatan
Diterbitkan:  Mar 9, 2008 3:38 PM
Dikemaskini: Mar 10, 2008 7:21 AM

mahathir mohamad 01 Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah "memusnahkan" BN selepas keputusan teruk dalam pilihanraya umum semalam.

Mahathir mengecam parti pemerintah itu selepas keputusan terburuknya dalam sejarah - empat negeri jatuh di tangan parti-parti pembangkang, tidak termasuk gagal mengambil Kelantan.

"Pada pendapat saya, beliau telah merosakkan Umno, memusnahkan BN dan beliau mesti bertanggungjawab," kata Mahathir kepada wartawan.

Beliau mencadangkan Abdullah meletakkan jawatan, dan menambah beliau telah tersilap melantik presiden Umno itu sebagai perdana menteri.

"Saya fikir beliau harus menerima tanggungjawab atas (kekalahan) ini. Beliau mesti menerima tanggungjawab 100 peratus," katanya.

"Saya minta maaf tetapi saya memang telah membuat pilihan yang salah (melantik Abdullah)."

Mahathir sebelum ini berkata beliau tidak berhasrat melihat Abdullah memegang jawatan itu lebih daripada satu penggal, dan beliau seharusnya menyerahkannya kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah dihukum pengundi akibat kenaikan inflasi dan kadar jenayah serta keresahan hubungan kaum.

"Saya fikir orang ramai mesti rasa sangat-sangat marah, semua kaum, Cina, Melayu dan India," kata Mahathir.

"Masalahnya kita (kerajaan) telah menjadi terlalu bongkak. Kita tindas sebarang pendapat yang kita tidak suka dan mereka mula percaya pada laporan sendiri yang tidak selalunya tekal dengan apa yang sebenarnya sedang terjadi dalam negara ini."

Abdullah dilantik sendiri oleh Mahathir, tetapi apabila perdana menteri baru itu enggan meneruskan projek-projek kesayangnnya, beliau melancarkan tuduhan-tuduhan tentang salah urus ekonomi, pilih kasih dan rasuah.

Transkrip penuh: Khairy punca BN tewas mengejut ?

ADS