Pemuda Gerakan hari ini mengalu-alukan hasil kaji selidik terbaru Merdeka Centre yang mendapati dua pertiga daripada rakyat Malaysia mahu Barisan Nasional (BN) menjadi sebuah parti tunggal pelbagai kaum.

"Pemuda Gerakan telah memperjuangkan gabungan (parti-parti komponen BN) itu sejak persidangan nasional pergerakan tersebut yang lalu," kata ketuanya Datuk Mah Siew Keong.

mah siew keong Bagaimanapun, beliau berkata, saranan pihaknya mendapat sambutan dingin daripada para pemimpin parti-parti komponen BN.

"Masanya sudah tiba bagi kesemua 14 parti komponen BN bergabung menjadi sebuah parti tunggal BN pelbagai kaum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda Gerakan membuat cadangan tersebut dalam persidangan nasionalnya Oktober lalu tetapi ditolak oleh ramai pemimpin parti komponen BN.

Tingkat kerjasama

Rata-rata mereka beranggapan bahawa masanya belum tiba untuk merealisasikan penggabungan seumpama itu.

“Saya menggesa pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan semua pemimpin BN supaya mengkaji dan menimbang secara serius cadangan kami kita," tambahnya.

Di samping itu, Pemuda Gerakan juga bersetuju dengan gesaan pemangku presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya diadakan lebih kerap mesyuarat di peringkat majlis tertinggi BN di peringkat negeri, bahagian, parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

"Parti-parti komponen BN bukan sahaja perlu bekerjasama sewaktu pilihanraya umum tetapi juga perlu meningkatkan kerjasama di semua peringkat sambil mengkaji cadangan penggabungan tersebut.

“Kepada semua teman seperjuangan dalam BN, marilah kita sama-sama mengambil langkah segera ke hadapan kerana keputusan pilihanraya umum lalu membuktikan perlunya diwujudkan parti tunggal BN pelbagai kaum," tambah Mah.