Exco kerajaan Selangor, Dr A Xavier Jayakumar akan meminta kerajaan negeri itu menyediakan tapak untuk membina lebih banyak Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil.

xavier jayakumar 02 Katanya, ia akan memudahkan kerajaan pusat membina sekolah-sekolah berkenaan bagi mempercepatkan usaha membasmikan kemiskinan, khususnya di kalangan masyarakat India di Selangor.

Beliau yang mempengerusikan jawatankuasa tetap kesihatan, pekerja ladang, kemiskinan dan kerajaan prihatin Selangor berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Dr Xavier berkata, Selangor memerlukan sekurang-kurangnya lima lagi sekolah Tamil untuk menampung pertambahan pelajar.

Di samping itu, katanya, di sekolah Tamil sedia ada pula, kawasannya yang sempit menyebabkan kemudahan seperti padang bola dan lain-lain tidak dapat disediakan.

"Kita percaya, pembasmian kemiskinan dalam jangka masa panjang, khususnya dalam kalangan masyarakat India, adalah melalui pendidikan," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pengumum Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed semalam bahawa 40 sekolah Tamil akan dinaik taraf dan melibatkan tender bernilai RM 41.5 juta.

Salur peruntukan

"Saya setuju. Perkara ini sudah lama ditunggu. Kalau boleh percepatkan projek ini. Kita juga berharap peruntukan tersebut dibuat secara berterusan.

"Sekarang sekolah Tamil dalam keadaan tidak kondusif. Oleh itu, peruntukan tersebut hendaklah disalurkan segera bagi meningkatkan standard sekolah Tamil.

"Kalau tak ada tanah kerajaan negeri sedia beri," kata Dr Xavier.

Menurut beliau terdapat lebih 500 sekolah Tamil di seluruh negara dan 80 peratus daripada mungkin perlu dinaiktarafkan.

Sehingga awal tahun ini, terdapat 97 SJK Tamil di Selangor.

Beliau juga mengulas mengenai tindakan jabatan pelajaran tidak membenarkan rakyat Pakatan Rakyat merasmikan atau terbabit dalam urusan sekolah.

Bagaimanapun, kata Xavier, kerajaan negeri menerima banyak permohonan peruntukan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk keperluan sekolah masing-masing.

"Kita sedia memberikan sumbangan," katanya.