Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dicabar menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja mereformasi sistem pilihanraya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan penyelewengan ketika ia diadakan Mac lalu.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) juga membantah kenyataan SPR yang mendakwa pilihanraya umum lalu "satu daripada yang terbaik pernah diadakan."

jom bersih venue change 010208 abdul rashid poster tearing sequence Pengerusi suruhanjaya itu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman semalam dilaporkan berkata tiada kes pelanggaran peraturan pilihanraya muncul, "setakat yang saya tahu, ia salah satu daripada pilihanraya terbaik."

Jurucakap Bersih, Faisal Mustaffa, menyifatkan kenyataan itu "memalukan" dan, menurutnya, "sebenarnya pilihanraya itu dipenuhi kepincangan".

Bersih juga mendesak SPR menjelaskan asas-asas penilaian pengerusi suruhanjaya itu yang membuat dakwaan sedemikian.

Menurut kenyataannya hari ini, Bersih berkata SPR bukan hanya gagal untuk melaksanakan dakwat kekal selepas cadangan pelaksanaannya dibatalkan saat-saat akhir, hanya tiga hari sebelum pilihanraya 8 Mac.

"Bersih juga menuntut pembersihan senarai daftar pemilih, pemansuhan undi pos untuk anggota keselamatan, tempoh kempen 21 hari dan akses media adil," katanya.

"Kesemuanya tidak dilaksanakan."

Gabungan lebih badan bukan kerajaan dan semua parti pembangkang itu turut mendakwa, pendaftaran pemilih secara berganda "menimbulkan banyak keraguan apabila pengundi pos dan sistem pengundian pos mungkin telah menyelamatkan BN di beberapa kerusi panas.

"SPR gagal untuk memberi sebarang maklum balas berkaitan aduan- aduan yang diberikan atau sekurang-kurangnya menyatakan cara untuk menyelesaikan masalah-masalah sedemikian," kata Faisal lagi, kini bertugas sebagai pembantu ahli parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.