1 Mei: Gerakan puji kerjasama polis
Gerakan memuji pasukan polis kerana membenarkan satu perhimpunan hari pekerja di ibunegara diteruskan semalam selepas berunding dengan pihak penganjurnya.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr S Vijayaratnam berkata, mereka juga dibenarkan berarak secara aman dan teratur.
'Ini menunjukkan bahawa, dengan persetujuan pihak penguatkuasa kuasa dan pihak penganjur, perhimpunan yang aman dapat menjadi realiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kerjasama yang diberikan oleh pihak polis telah dapat memastikan tiada tolak ansur dalam arahan polis dan aspek keselamatan, dan lalulintas tidak terganggu.
"(Oleh itu) tidak perlu untuk menggunakan meriam air, bom pemedih mata dan (mengelak) sebarang kecederaan," kata Dr S Vijayaratnam.
Pastinya, tambah beliau, pihak penganjur perlu memberi kerjasama yang sewajarnya.
"Inilah sepatutnya keadaannya sewaktu berlangsungnya demonstrasi oleh Bersih dan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) sebelum ini," tambahnya.
Demokrasi, tambahnya, termasuk hak untuk mengadakan perhimpunan secara aman.
Semalam, Jerit menganjurkan perhimpunan hari pekerja di Dataran Merdeka yang turut disertai oleh 12 wakil Pakatan Rakyat.
Pada mulanya, pihak polis tidak membenarkan ia diteruskan tidak mendapatkan permit polis.
Bagaimanapun, selepas pihak penganjur berunding dengan pihak polis, mereka dibenarkan berarak dalam kumpulan kecil menunjuk Sekolah Menengah Confucius berhampiran untuk menghadiri aturcara di situ.

