K'jaan P Pinang akan mengadap Agong
Kerajaan Pulau Pinang memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyelesaikan isu jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
YDP MAIPP, Shabudin Yahya telah mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 April lalu selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang baru, tetapi menurut akhbar hari ini, beliau telah diminta oleh Seri Paduka supaya meneruskan tugasnya sehingga tempoh watikah pelantikan berakhir pada 31 Disember tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, sepucuk surat telah dihantar kepada Seri Paduka untuk memohon menghadap bagi membincangkan kedudukan yang dipertua MAIPP itu serta untuk memberikan pandangan kerajaan negeri berhubung perkara itu kepada baginda.
Menurutnya, kerajaan negeri wajar diberi peluang untuk membuat penjelasan kerana ia juga telah mempunyai calon yang sesuai, mempunyai kredibiliti serta layak untuk jawatan berkenaan.
"Selaku exco agama, saya mengambil pendirian melakukan kunjungan hormat bagi berbincang dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana saya yakin atas keberkesanannya sebagai payung bagi masyarakat Islam di Pulau Pinang, baginda akan mendengar (penjelasan) kedua-dua belah pihak terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Menurut laporan Bernama, Mohammd Fairus mengulas keputusan Tuanku Mizan menolak peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan dari Barisan Nasional (BN).
Shabudin dilaporkan berkata beliau bersama ahli majlis MAIPP telah diminta menghadap Tuanku Mizan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur, pada 28 April lalu untuk memberikan penjelasan berhubung peletakan jawatan itu.
"Tuanku Mizan berpendapat semua anggota majlis perlu meneruskan tugas dan tanggungjawab sehinga berakhir tempoh pelantikan, dan baginda juga meminta segala perancangan dan usaha yang dirancang untuk kepentingan umat Islam sebelum ini diteruskan," kata Shabudin.
Shabudin ketika ditemui berkata, beliau akan meneruskan tugasnya itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepadanya menerusi surat bertarikh 29 April lalu.
"Kalau kerajaan negeri mahu menghadap baginda berhubung perkara ini, terpulang kepada mereka, itu hak mereka tetapi kita kena ingat bahawa kuasa mengenai hal ehwal agama di negeri-negeri Selat terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.

