Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bermain teka-teki berhubung jumlah ahli parlimen BN yang akan melompat parti dan tarikh sebenar peristiwa besar itu akan terjadi.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu masa yang sesuai.

"Masa itu bergantung kepada keadaan (sokongan) Umno yang semakin sedikit. Sekarang mereka mulai panik dan memainkan sentimen perkauman, isu kelangsungan masa depan Melayu. Jadi kami rasa biar mereka sambung perdebatan itu. Kita akan mempertimbangkan pilihan kita.

anwar ibrahim pc 120508 03 "Perubahan besar begini tidak harus dilakukan secara tergesa-gesa. Kita harus beri ruang kepada pimpinan (Pakatan) untuk meneliti semua aspek.

"Dan baiknya ialah apabila kita berikan tempoh, ia dibahaskan di seluruh negara. Jadi dia tidak menimbulkan hal yang agak tegang," katanya di sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya petang tadi.

Mengulas jumlah ahli parlimen BN yang sudah berada di pihaknya, Anwar menjawab:

"Saya sudah jelaskan, biar Umno dan BN buat spekulasi masing- masing. Kita ambil langkah mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur dan kita akan umumkan pada waktu yang tepat.

"Bila sampai waktu, saya bagi notis," katanya, sambil ketawa kecil dan disambut ketawa beberapa wartawan.

Anwar juga berkata, terpulang kepada ahli-ahli parlimen itu sendiri jika hendak membuat pengumuman lebih awal meninggalkan BN.

"Ada pilihan pada mereka untuk mengumumkan pada masa yang sesuai. Mereka bebas untuk mengumumkan bila masa yang sesuai. Tugas saya sebagai memimpin tiga parti hanya mengumumkannya mengikut jadual," katanya.

Tentang langkahnya bertanding dalam pilihanraya kecil untuk dilantik sebagai seorang ahli parlimen, Anwar berkata beliau mempunyai pilihan sama ada untuk bertanding sebelum atau selepas pembentukan kerajaan baru.

"Kita mempertimbangkannya kedua-duanya (pilihan). Berlawan dalam pilihanraya dan membentuk kerajaan," katanya.

Mengulas kenyataan menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kegiatan lompat parti sebagai tidak bermoral, Anwar menjawab perkara itu bergantung kepada keadaan.

"Yang dimaksudkan dengan tidak bermoral (oleh Nik Aziz) itu apabila ada kaedah membeli orang," katanya.

"Kita tahu proses pilihanraya banyak penipuan. Pilihanraya yang dilaksanakan pada 8 Mac itu penuh dengan penipuan termasuk pembatalan dakwat. Kerusi yang wajib dimenangi, dikalahkan dengan cara tipu-helah," tambahnya.

anwar ibrahim pc 120508 04 Beliau mengulangi kenyataan awalnya bahawa dasar lompat parti yang sedang diusahakannya tidak melibatkan duit tetapi kesediaan wakil BN mengikut agenda parti-parti pembangkang.

"Banyak ahli dan kawan kita daripada BN, termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak sedar bahawa berlaku penipuan pada pilihanraya lalu. Tiada harapan untuk perubahan atau reformasi yang bermakna dalam pemerintahan sekarang atau bawah kerajaan pimpinan Umno," katanya.

Ditanya tentang kemungkinan BN membubarkan parlimen untuk mengelakkan peralihan kuasa melalui langkah lompat parti, Anwar tidak menolak kemungkinan itu.

Beliau berkata jika pilihanraya umum yang baru diadakan, beliau berharap ia tidak dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sedia ada.

"Saya yakin ia (BN) akan menyaksikan kekalahan cukup parah," katanya.

Mengulas isu pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu, Anwar berkata media yang dimiliki Umno terus-terusan cuba menggambarkan pembangkang tidak menghormati institusi raja.

Dalam perbincangannya dengan Karpal, tambah bekas timbalan perdana menteri itu lagi, ahli parlimen Bukit Gelugor "tidak bermaksud menyinggung atau tidak menghormati kedudukan Raja-raja Melayu".

Beliau juga menganggap siasatan polis terhadap Karpal menunjukkan pihak berwajib menggunakan piawaian yang tidak konsisten apabila penghinaan terhadap institusi raja yang jelas seperti di Terengganu dilambat-lambatkan siasatannya.

"Ketua polis negara hanya menyegerakan siasatan terhadap ahli parlimen pembangkang," katanya.

"(Keadaan) ini mengesahkan kebimbangan rakyat selama ini bahawa dalam badan kehakiman, dalam siasatan polis, dalam pendakwaan Jabatan Peguam Negara, tidak banyak perubahan selepas pilihanraya yang lalu."

ADS