Profesional pimpin cawangan MIC
MIC akan menjalankan gerakan besar-besaran untuk menarik lebih ramai golongan muda dan profesional untuk memimpin cawangan parti di seluruh negara bagi memulihkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN).
Berikutan itu, Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, MIC mesti memikirkan strategi baru untuk menarik mereka menyertai parti itu bagi menggantikan pendekatan sebelum ini yang mungkin tidak dapat diterima lagi.
Berucap merasmikan konvensyen MIC Perlis di Kangar hari ini, beliau berkata, sasaran parti komponen BN itu ialah untuk menarik minat para graduan.
Sehubungan itu, katanya, MIC perlu membuang "kaedah-kaedah lama" yang telah menghalang mereka daripada menyuarakan idea dan rasa tidak puashati mereka menerusi parti tersebut.
"Kita mahu suara mereka lebih banyak didengar, terutama dari kalangan remaja dan golongan profesional," katanya.
Samy Vellu berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha penjenamaan semula parti itu yang dilancarkan baru-baru ini.
Presiden MIC itu berkata, sudah sampai masanya bagi parti itu melihat semula cara cawangan dan bahagiannya beroperasi dan menyuntik budaya kerja dan dinamik di kalangan para pemimpinnya.
"Dalam pilihanraya umum lalu, pengundi undi menolak kita kerana kita dilihat tidak berkesan, tetapi kebenarannya ialah kita memperjuangkan hak mereka.
Tunaikan janji
"Kesilapan kita ialah kerana tidak menggunakan Internet secara lebih bekesan untuk menyebarkan maklumat yang betul dan menangkis pembohongan yang disebarkan terhadap parti kita," katanya.
Samy Vellu juga berkata, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa majoriti pengundi India mengundi pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.
"Mereka menolak kita kerana mereka kecewa dengan kita (BN) kerana tidak melakukan secukupnya," katanya.
Menurutnya, 60 peratus pengundi India mengundi BN dalam pilihanraya umum lalu, berbanding dengan hampir 85 peratus sebelum ini.
Samy Vellu berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengenepikan 'sindrom penafian' dan meningkatkan usaha untuk menyegarkan semula MIC.
Beliau juga menyatakan sokongan penuh MIC kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menunaikan janji-janji BN dalam pilihanraya umum lalu.
"Ini menjadi keutamaan kita sekarang. Kita mahu kerajaan memenuhi janjinya dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) untuk kaum India," katanya.
Dengan berbuat demikian, katanya, ia akan dapat memulihkan semula kepercayaan mereka kepada kerajaan dan BN.

