Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
9 ketua Pemuda Kedah sokong Mukhriz
Diterbitkan:  May 23, 2008 6:51 AM
Dikemaskini: 8:49 AM

Sembilan ketua Pemuda Umno bahagian di Kedah menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong Datuk Mukhriz Mahathir bertanding merebut jawatan ketua pergerakan itu Disember ini.

mukhriz mahathir and umno pemuda Mereka menyatakan sokongan tersebut sewaktu mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen Jerlun itu kediamannya di Titi Gajah, Alor Star malam tadi.

Ketua Pemuda Merbok, Abdul Karim Ali yang turut menghadiri perjumpaan itu, berkata Mukhriz memberitahu mereka hasratnya bertanding jawatan tersebut.

Jawatan tersebut menjadi rebutan ekoran pengumuman penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa tidak akan mempertahankannya Disember depan.

"Mukhriz turut menjelaskan sebab-sebab beliau mahu bertanding jawatan ketua pemuda Umno.

"Selepas mendengarnya, kami sependapat bahawa beliau merupakan orang yang paling layak menerajui jawatan tersebut," katanya.

Jelas isu semasa

Dalam pertemuan tersebut, Mukhriz turut menerangkan isu-isu semasa yang berlaku dalam parti termasuk tindakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti lsnin lalu.

Bagaimanapun, exco pemuda Umno itu tidak meminta ketua pemuda bahagian menyokongnya kerana berpendapat ia adalah isu beliau dan tiada kena mengena dengan pemuda.

Sementara itu, ketua pemuda Umno bahagian Jerlun, Zulfekri Awang berkata, dalam pertemuan tersebut Mukhriz turut menjelaskan tindakannya mendesak perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan.

"Mukhriz memberitahu bahawa parti memerlukan seorang pemimpin baru yang lebih kuat," katanya lagi.

Berikutan itu, Zulfekri meminta semua ketua pemuda bahagian di Kedah supaya menyokong Mukriz bertanding jawatan ketua pergerakan.

Katanya, tiada orang yang paling layak memimpin pergerakan itu terutama selepas pengunduran Hishamuddin.

Pertemuan Khir Toyo

Manakala ketua pemuda bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Ahmad berkata beliau tidak hadir dalam perjumpaan tersebut kerana ada urusan lain.

"Saya agak kesuntukan masa untuk menghadiri perjumpaan tersebut kerana SMS mengenai pertemuan tersebut hanya dihantar petang semalam.

"Selalunya saya akan hadir mana-mana pertemuan dengan pemimpin parti," katanya.

Pada 17 Mei lalu, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo juga bertemu dengan ketua pemuda Umno bahagian di Kedah.

Pada awal bulan depan, Mukhriz akan mengadakan pertemuan dengan ahli Pemuda umno bahagian Merbok.