Tinjau sokongan pada pemimpin Umno
Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ahli Umno peringkat akar umbi mahu satu kaji selidik dilakukan berhubung sokongan kepada kepimpinan parti itu sekarang.
Beliau yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata, kajian itu boleh dilakukan dengan mengedar borang khas kepada ahli bagi membolehkan mereka menyatakan pendirian sebenar sama ada menyokong kepimpinan sekarang atau sebaliknya.
"Mungkin ramai ahli Umno yang ingin meluahkan perasaan mereka tetapi malangnya hak mereka itu dinafikan oleh pemimpin yang lebih mementingkan kedudukan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan ahli Pemuda Umno Kuala Krau dekat Temerloh malam tadi.
Menurut laporan Bernama, Mukhriz, berkata beliau telah bertemu dengan beberapa ahli Umno yang mula melahirkan rasa bosan kerana suara mereka sering dinafikan dan mereka mengambil sikap tidak lagi mahu bergerak aktif dalam parti.
"Tindakan ahli yang tidak puas hati memprotes secara diam lebih bahaya daripada menyuarakan pandangan kepada parti," katanya.
Mukhriz berkata ahli bawahan turut mencadangkan agar mereka diberi peluang mengundi pada pemilihan parti akan datang.
"Proses pemilihan sekarang sudah tidak lagi sesuai kerana wakil mereka boleh dibeli dan akhirnya mengkhianati kehendak ahli-ahli akar umbi," katanya.

