BERITA

Blog baru siar kisah Ezam luar Umno

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mei 2008, 7:54 pagi

Sebuah blog baru muncul sehari selepas Mohamad Ezam Mohd Nor menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Blog tersebut menyiarkan berita-berita mengenai Ezam ketika menjadi pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) dan kenyataannya mengecam Abdullah ketika berada di luar Umno sebelum ini.

ezam mohd nor blog Artikel yang disiarkan dalam blog tersebut antaranya bertajuk 'Ezam ada bukti PM dan Dr Mahathir beri projek kepada anak menantu'.

Turut disiarkan, gambar-gambar dan laporan polis yang dibuat oleh Ezam yang mendakwa beliau mempunyai fakta kukuh untuk mengheret mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah ke mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa semasa memerintah.

Satu lagi artikel bertajuk ' Tak Mungkin saya diterima Umno: Ezam' memetik beliau sebagai berkata:

"Tidak mungkin saya diterima masuk dalam Umno kerana saya sudah buat tiga kali laporan polis dan BPR terhadap presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi dan anaknya Kamaruddin."

Dalam artikel yang bertajuk 'Isu Anwar, Abdullah tunjuk belang sebenar - Ezam', Anwar mengkritik Abdullah yang didakwanya berpegang prinsip yang sama seperti Dr Mahathir yang tidak berasaskan akhlak dan prinsip keadilan.

Manakala bahan-bahan lain merupakan kenyataan Ezam di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas dijatuhkan hukuman bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2003.

Ezam mengambil keputusan untuk menyertai semula Umno dan menyerahkan borang keahlian kepada Abdullah di bangunan Parlimen Rabu lalu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.