Pemecatan Sanusi 'mengejutkan'
Pemecatan Tan Sri Sanusi Junid sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bercanggah dengan hasrat pentadbiran perdana menteri yang menjanjikan "minda kelas pertama", kata tokoh DAP Lim Kit Siang.
Dalam kenyataannya hari ini, ahli parlimen itu berkata keputusan memecat bekas menteri besar Kedah itu, selepas beliau meninggalkan Umno bulan lalu, "paling mengejutkan dan sangat tidak wajar."
"Kelihatannya, keluar daripada Umno telah menjadi alasan wajar untuk memecat pentadbir dan ahli akademik di universiti-universiti Malaysia," katanya.
Beliau juga menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan penjelasan berhubung pemecatan tiba-tiba Sanusi pada 2 Jun tanpa sebarang sebab.
Surat pemecatan itu bagaimanapun, menurut Sanusi, hanya diterima kelmarin.
Semalam, Sanusi mendakwa hanya perdana menteri boleh mempengaruhi Sultan Pahang, selaku ketua perlembagaan UIA, agar memecat beliau.
Katanya, Sultan Pahang "hanya boleh memberhentikannya atas nasihat" Abdullah.
"Memandangkan hubungan yang cukup baik antara saya dengan ketua perlembagaan UIA, sudah tentu tindakan (pemecatan saya) ini tidak dibuat atas kehendak DYMM Tuanku sendiri," katanya.
"Tempoh perkhidmatan saya masih ada dua tahun lagi, tiada kesalahan (saya) yang dinyatakan, bererti penamatan tempoh khidmat saya daripada jawatan presiden UIA, dengan serta-merta ini, adalah satu pemecatan disebabkan desakan beberapa pihak yang berkepentingan."
Jawatannya di UIA mula diperkatakan orang selepas beliau mengumumkan keluar daripada Umno bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mei lalu.
Sehari selepas tindakannya, beliau tidak menghadiri majlis perasmian sambutan ulang tahun ke-25 UIA oleh perdana menteri dan sikapnya itu dipersoalkan beberapa pihak.

