Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad boleh bertanding dalam pemilihan Umno Disember ini kerana tempoh penggantungannya telah tamat semalam, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

mohd isa samad Mohd Isa digantung keahliannya sejak tahun 2005 hingga semalam (23 Jun) selepas Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah terhadap tuduhan politik wang ketika bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno pada tahun 2004.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, kelayakan itu bergantung sama ada Mohd Isa telah membayar yuran tahunnya sejak 2005.

Jika tidak, katanya, Mohd Isa tidak layak untuk memilih calon atau bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti Disember ini.

"Soalnya sekarang adakah Mohd Isa membayar yuran tahunan tersebut? Jika tidak, beliau tidak boleh bertanding," kata Muhyiddin lagi.

"Pembayaran yuran tahunan itu juga sebagai syarat untuk beliau boleh memilih (calon)," katanya di lobi Parlimen semalam ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Isa bahawa beliau perlu diberi peluang untuk bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Mohd Isa telah digantung keahliannya dalam Umno kerana kesalahan politik wang yang berkuatkuasa mulai 24 Jun 2005.

Lembaga Disiplin Umno menggantung keahlian Mohd Isa, 59, selama dua penggal atau enam tahun selepas mendapati beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang semasa pemilihan parti pada 2004.

MT tentukan

Mohd Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan jumlah undian tertinggi iaitu 1,507 diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Muhyiddin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika itu.

Berikutan hukuman tersebut, Mohd Isa turut digantung semua jawatannya dalam parti, termasuk sebagai ketua Umno bahagian Teluk Kemang.

Ekoran rayuannya pada 6 Julai 2005, Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mengurangkan tempoh penggantungan Mohd Isa dari enam tahun kepada tiga tahun.

Selepas digantung keahlian, Mohd Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Oktober 2005.

Sementara itu, ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata kedudukan seseorang ahli Umno yang digantung keahliannya, akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti apabila tempoh penggantungan itu berakhir.

Beliau dilaporkan berkata, ini proses biasa yang dilalui oleh semua ahli Umno yang digantung keahlian mereka atas pelbagai kesalahan melanggar disiplin parti termasuk politik wang.

"Biasanya ia akan dibincang dulu oleh Jawatankuasa Pengurusan dan kemudian akan dibawa ke MT. MT akan bincang dan buat keputusan. Keputusan MT muktamad.

"Macam kes (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Zaid (Ibrahim), beliau tidak (boleh) secara automatik pegang balik (jawatan) ketua bahagian Kota Bharu. Kena pergi balik (kepada pucuk pimpinan parti), apa keputusannya, ini macam mana (kesnya)," katanya.

ADS