BERITA

Polis: Bala mungkin di luar negara

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Jul 2008, 3:26 petang

Polis tidak menolak kemungkinan penyiasat persendirian P Balasubramaniam, yang terbabit dalam kontroversi dua akuan bercanggahan berhubung pembunuhan Altantuya Shaaribu, kini berada di luar negara.

p balasubramaniam private investigator altantuya murder case Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Interpol, selain membuat pemantuan di pintu-pintu masuk dan keluar negara ini bagi mengesan Balasubramaniam (foto) .

"Pihak polis masih mencari dan juga ingin mengambil percakapan beliau terutamanya dengan akuan bersumpah yang telah dibuat baru-baru ini.

"Setakat ini kita telah memaklumkan kepada Interpol dan juga pihak-pihak berkuasa di pintu masuk dan keluar di Malaysia untuk mengesan orang yang berkenaan," katanya ketika ditemui

pemberita di Kuantan hari ini.

Menurut laporan Bernama , Mohd Bakri berkata pada masa ini pihaknya akan cuba mendapatkan keterangan daripada individu-individu yang terakhir berjumpa dengan penyiasat persendirian itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak berniat memberi tekanan kepada Balasubramaniam, sebaliknya hanya ingin menjalankan siasatan dengan kadar segera.

Minta kerjasama

Malah, katanya, polis akan memberikan jaminan keselamatan terhadapnya seperti yang dilakukan terhadap bekas pembantu peribadi ketua umum PKR, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Kalau dia takut, dia boleh datang dengan peguam dan kalau sekiranya dia mohon (jaminan keselamatan), kita akan beri sepenuh kerjasama untuk memberi kawalan keselamatan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan anak saudara penyiasat persendirian itu, R Sega yang tidak menolak kemungkinan bapa saudaranya itu disembunyikan seseorang, Mohd Bakri enggan mengulas.

Namun beliau menegaskan pihak polis tidak akan menyiasat andaian.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan kes dakwaan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Bakri berkata pihaknya telah merakamkan percakapan 18 saksi termasuk para doktor yang membuat pemeriksaan terhadap Mohd Saiful dan menjangkakan lebih ramai individu akan dipanggil memberi keterangan.

Ditanya sama ada pihaknya akan memanggil Anwar, Mohd Bakri berkata:

"Kita perlu mengambil keterangan dulu daripada saksi-saksi... kita tengok, kita kaji dan kemudian kita akan ambil tindakan sama (terhadap Anwar)."

Beliau juga memohon agar individu terbabit untuk tampil memberi keterangan tanpa perlu memaksa pihaknya mengambil tindakan mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.