BERITA

Dr Asri: Program sirah TV3 'karut'

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jul 2008, 2:48 tengahari

kemaskini 6:29pm Program sejarah nabi yang disiarkan TV3 "dibaluti kekarutan", dakwa mufti Perlis hari ini - meneruskan sikap beraninya menegur secara terbuka pihak-pihak yang dianggapnya tidak menepati ajaran Islam.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau telah menerima beberapa aduan berhubung kandungan program Al-Hidayah di stesen televisyen swasta itu tetapi enggan mengulas kerana belum pernah menontonnya.

"Ternyata apa yang menjadi kegusaran banyak pihak itu benar. Ustazah berkenaan telah menceritakan tentang nabi Isa tanpa berdasarkan sumber-sumber yang sahih.

al hidayah "Bahkan kisah itu dibaluti dengan kekarutan yang amat sangat," katanya, mengulas slot sirah dalam program itu yang ditontonnya semalam.

Program itu disiarkan semalam selama setengah jam mulai 6.30 pagi.

Sumber yang dekat dengan rancangan TV3 itu berkata, tayangan setiap pagi Sabtu dan Ahad itu merupakan siaran ulangan dan program asalnya "mungkin telah disiarkan dua atau tiga tahun lalu".

Siri terkini rancangan itu boleh ditonton pada setiap Jumaat dari jam 1 hingga 1.30 tengah hari, sumber itu memberitahu Malaysiakini ketika dihubungi tadi.

Rancangan itu, menurutnya lagi, sudah lebih 10 tahun disiarkan.

Slot sirah juga, menurut sumber, sudah tidak lagi dikekalkan dalam siri terbaru.

Mengulas sama ada TV3 menerima bantahan rasmi atau tidak, sumber menyatakan:

"Rancangan itu dipantau oleh Jakim (Jabatan Kebajikan Islam Malaysia). Biasanya kalau ada apa-apa, Jakim akan beritahu (TV3). Setakat ini, saya tidak dengarlah."

Menurut Mohd Asri di blognya hari ini, penceramah menyatakan bahawa ibu baginda rasul Maryam wafat sebelum nabi itu dan "mengemukakan kisah yang tiada sumber yang sah daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih."

"Bahkan (kisah itu) bertentangan juga dengan Bible," katanya.

"Kemungkinan besar beliau mengutip kisah ini daripada laman web Syiah sempena perayaan 'mengingati kewafatan Maryam' yang diraikan oleh Syiah Imamiyyah," kata mufti muda itu, seorang lulusan dalam bidang pengajian hadis.

"Kecenderungan penceramah-penceramah sebegini mengambil sumber-sumber yang tidak sahih tentang agama - termasuk hadis palsu dan riwayat Israiliyyat – boleh mengelirukan orang awam mengenai Islam yang sebenar."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai rancangan-rancangan agama di televisyen melalui emel sejak beberapa bulan lalu.

Beliau bagaimapun enggan mendedahkan rancangan-rancangan lain kerana belum menontonnya sendiri.

Mufti Perlis mencadangkan kepada TV3 agar menyemak latar belakang penceramah dan isi kandungan yang bakal disampaikan untuk mengelak berulang kesilapan fakta.

"Kalau rancangan itu (mengenai) sirah, semak dengan orang (yang mahir) sirah. Kalau syariah, semak dengan orang yang berkelayakan dalam syariah, semak dengan orang yang betul-betul ahli," katanya.

"Kena hati-hati, (ceramah) motivasi boleh, (kalau melibatkan) fakta, kena hati-hati," katanya.

Slot sirah yang disiarkan semalam disampaikan oleh seorang penceramah motivasi berunsur agama yang terkenal.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.