BERITA Malaysiakini

Anwar patut beri kerjasama, kata Ibrahim Ali

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Kepercayaan rakyat akan terhakis terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau masih berdolak-dalik berhubung tuduhan kes liwat terhadapnya, kata ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

ibrahim ali Beliau berkata, Anwar sepatutnya memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya siasatan mereka berjalan lancar sehingga kes itu dapat dibicarakan di mahkamah.

Di samping itu, kata Ibrahim, pihak polis juga telah memberikan jaminan tiada perkara buruk akan berlaku kepada Anwar seperti pernah berlaku ke atas dirinya pada 1998 ketika beliau ditangkap atas tuduhan yang sama.

"Berani kerana benar takut kerana salah," katanya ketika berucap dalam ceramah perdana di Pasir Mas malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Anwar ditahan Rabu lalu sebelum dibebaskan bagi membantu siasatan terhadap aduan yang dibuat oleh bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR itu..

Ibrahim berkata, jika Anwar tidak memberikan kerjasama, rakyat akan membuat pelbagai andaian kononnya dakwaan itu adalah konspirasi kerajaan atau Anwar memang melakukan perkara itu.

Lantik pendakwaraya mahir

Sehubungan itu, beliau yakin Anwar sebagai mantan timbalan perdana menteri akan mengambil langkah untuk bekerjasama bagi membuktikan kebenaran di dalam kes itu.

Beliau meminta agar pihak kerajaan melantik pendakwaraya daripada mereka yang bebas dan mahir di dalam perundangan ketika pendakwaan dibuat terhadap Anwar bagi mencerminkan ketelusan perbicaraan kes itu.

"Pendakwaraya tidak boleh daripada kakitangan kerajaan atau daripada Jabatan Peguam Negara. Ini boleh dilakukan berdasarkan undang-undang yang ada di dalam negara ini," katanya.

Beliau juga meminta doktor peribadi Anwar sendiri melihat proses pengesahan DNA dijalankan bagi memastikan tiada pemalsuan berlaku semasa ujian DNA dijalankan untuk mengesahkan kesahihan keputusan DNA tersebut.

Beliau yakin dengan langkah itu kebenaran akan pasti terserlah kerana tiada siapa di dalam negara ini berada di atas undang-undang.