BERITA

Suami isteri saman Raja Petra

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Jul 2008, 10:17 pagi

raja petra kamaruddin

Sepasang suami isteri anggota tentera yang dinamakan dalam akuan berkanun blogger Raja Petra Kamaruddin, telah memfailkan saman fitnah terhadap pengendali lamanweb Malaysia Today itu hari ini.

Left-Kol Abdul Aziz Buyong dan isterinya Left-Kol Norhayati Hassan memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam saman tersebut, mereka masing-masing menuntut gantirugi RM1 juta dan - RM1 juta untuk Abdul Aziz dan RM1 juta lagi untuk Norhayati.

Di samping itu, mereka juga menuntut gantirugi teladan dan perintah mahkamah menghalang Raja Petra daripada mengulangi dakwaan terhadap mereka.

Dalam akuan berkanunnya pada 18 Jun lalu, Raja Petra telah mengaitkan pasangan suami isteri itu, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut akuan berkanun tersebut, Aziz didakwa telah memasang C4 di pelbagai bahagian badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan Norhayati.

Pasangan suami isteri itu mendakwa, tindakan mengaitkan mereka dengan pembunuhan tersebut berniat jahat dan merupakan fitnah terhadap mereka.

Menurut mereka lagi, akuan berkanun itu juga mendedahkan mereka kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan di mata masyarakat yang berfikiran waras.

Minggu lalu, Raja Petra ditahan dan didakwa atas tuduhan jenayah fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Beliau dibebaskan dengan ikatjamin RM2,000. Kesnya akan mula didengar pada 15 Ogos depan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan