Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa serangan terhadap parti itu dilakukan pihak yang menyalahgunakan kuasa dan jawatan, termasuk mengkhianati rakan yang sebelum ini membantu mereka mencapai kedudukan.

Tanpa menamakan individu atau pihak berkenaan, Asyraf menyifatkan mereka sebagai “bobrok” kerana hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan.

“Apa yang berlaku mutakhir ini juga mengingatkan kita betapa bobroknya manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan, rakus menyalahgunakan sisa-sisa jawatan, menganiayai rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak,” katanya ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada Pembukaan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Asyraf berkata pihak berkenaan menyangka tindakan mengaibkan dan memalukan Umno akan menyebabkan parti itu menjadi lemah.

“Mereka tersilap percaturan. Mereka sangkakan dengan mengaibkan dan memalukan kita, maka kita akan lemah.

“Mereka silap. Kita ini perjuang Umno. Kita ini perjuang Melayu,” katanya.

Tidak dapat dipastikan apakah serangan yang dimaksudkan Asyraf.

Bagaimanapun, Umno sebelum ini terpalit dengan kritikan selepas Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji mendedahkan kerugian bersih agensi itu sebanyak RM1.4 bilion pada 2017, dan bukannya keuntungan seperti yang diisytiharkan.

Penemuan RCI berkenaan membawa kepada beberapa siri siasatan dan tindakan undang-undang terhadap beberapa individu termasuk daripada Umno.

Asyraf sendiri sebelum ini telah mengarahkan peguamnya memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta terhadap beberapa individu dan pemilik akaun media sosial yang mengaitkannnya dengan kerugian berkenaan.

Ucapan Asyraf itu turut disaksikan beberapa pimpinan kanan PAS yang hadir pada perhimpunan berkenaan, termasuk Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Fadli Shari serta Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman.

Umno sebelum ini memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri PAU 2026 sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan PAS kepada pimpinan Umno menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata tekanan dan cabaran yang dihadapi Umno sebaliknya menyebabkan anggota parti itu semakin bersemangat untuk melawan.

“Daripada hidup bercermin pangkat, lebih baik mati bergalang tanah.

“Dicabar, kita bangkit. Ditekan, kita melompat lebih tinggi. Dipukul, kita berdiri lebih keras melawan.

“Semakin diambil, semakin membumbu. Semakin dihimpit, semakin melentik,” katanya.

Dalam ucapan sama, Asyraf berkata kejayaan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak berlaku secara percuma.

Dia berkata penyatuan Umno dengan “rakan-rakan lama” daripada PAS semakin dicemburui lawan sehingga parti itu berdepan pelbagai intimidasi, fitnah dan tuduhan.

Katanya, semua tekanan itu didakwa bertujuan menakutkan, mengaibkan dan mencalar reputasi Umno serta menguji keteguhan hati perjuangannya.

Asyraf turut mengingatkan anggota parti supaya tidak terlalu mendabik dada dengan kejayaan PRN berkenaan kerana kemenangan itu adalah amanah untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik, rendah hati dan ikhlas.

“Kita jangan terlalu mendongak ke atas tatkala angin memihak kepada kita.

“Kerana gelombang yang membawa kita ke atas boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa daratan, kita lupa diri, kita sombong, kita angkuh dan kita leka,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf juga berkata seramai 45,808 individu direkodkan menjadi ahli dan kembali bersama Umno sejak konsep Rumah Bangsa digagaskan, tujuh bulan lalu.

Katanya, sambutan terhadap konsep yang digagaskan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi amat menggalakkan apabila ramai menyatakan hasrat untuk kembali, bersama-sama serta mengaktifkan semula keahlian mereka.

Menurutnya, perkembangan itu menyaksikan jumlah keseluruhan keahlian Umno setakat 31 Ogos lalu mencecah 3,251,456 orang.

“Sejak Presiden menggagaskan konsep Rumah Bangsa dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu, Ibu Pejabat Umno telah menerima sambutan luar biasa.

“Terdapat mereka yang mahu kembali, yang mahu bersama-sama, yang mahu mengaktifkan balik dan yang mahu turut serta di dalam Rumah Bangsa,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, daripada keseluruhan keahlian Umno itu, Pergerakan Wanita merekodkan kira-kira 1.4 juta ahli, diikuti Pemuda seramai 418,000 dan Puteri sebanyak 226,000.

Katanya, Johor merekodkan pertambahan ahli baharu tertinggi sepanjang lapan bulan tahun ini, diikuti Pahang, Selangor, Perak dan Sabah.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada bekas pemimpin utama parti termasuk Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Syed Hamid Albar, Noh Omar dan Mustapa Mohamed yang kembali bersama Rumah Bangsa.