Naib Presiden Idris PAS Ahmad dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengetuai rombongan parti itu ke Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Memakai baju melayu putih, dengan sampin bercorak hijau, lengkap dengan songkok, rombongan itu turut disertai Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman.

Tampil menonjol berlatarkan tema warna merah yang dipakai pemimpin dan perwakilan Umno, rombongan PAS dilihat mengibarkan bendera Umno ketika memasuki dewan persidangan.

Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula hadir sebagai tetamu khas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Nik Abduh berkata ucapan dasar Zahid di PAU hari ini meyakinkannya bahawa usaha penyatuan ummah akan berjaya.

“Ucapan Zahid yang amat meyakinkan kita bahawa penyatuan ummah Islam akan berjaya, insya-Allah dan kita sedang bersedia untuk ke Putrajaya,” katanya ketika ditanya mengenai kehadiran PAS ke PAU.

Menurutnya, PAS berterima kasih atas kehadiran pimpinan Umno ke muktamar parti itu sebelum ini dan berharap kehadiran PAS ke PAU turut disambut baik Umno.

“Kita amat berterima kasih kepada kehadiran Umno di muktamar kita. Kita harap Umno juga gembira dengan kehadiran kita. Kita tetamu,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata kehadiran PAS ke PAU merupakan kunjungan balas selepas pimpinan Umno menghadiri program parti itu sebelum ini.

“Alhamdulillah, kehadiran kami (hadir) ini mewakili (Presiden PAS, Abdul Hadi Awang), apa orang kata kunjungan balas. Orang berbudi kita berbahasa, orang datang kita datang baliklah,” katanya kepada pemberita.

'Hubungan antara parti sudah mula digerakkan'

Ditanya sama ada kerjasama Umno-PAS yang semakin terbuka itu dicemburui parti lawan, Idris berkata kedua-dua parti berperanan sebagai antara tunggak politik Melayu dan bumiputera di negara ini.

“Sudah tentu, teras politik Malaysia ini adalah orang Melayu Bumiputera. Yang keduanya, kita (ada) organisasi yang kuat di peringkat akar umbi sampai ke atas adalah PAS dengan Umno, tunggaknya.

“Maka kehadiran kami ini adalah untuk melengkapkan lagi kepada kerjasama politik dalam konteks Malaysia,” katanya.

Mengenai kerjasama akar umbi PAS dan Umno menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, Idris berkata hubungan antara anggota kedua-dua parti sudah mula digerakkan.

“Sebenarnya sekarang ini telah berjalan pun. Kita dah arahkan ahli-ahli di bawah untuk menjalinkan hubungan, untuk explore bersama-sama dengan ahli di bawah,” katanya.

Mengulas agenda untuk menawan Putrajaya, Idris berkata perkara itu juga menjadi sasaran PAS.

Katanya, PAS mempunyai Wawasan Negara Sejahtera (WINS) sebagai gagasan untuk pemerintahan negara, yang menurutnya mempunyai persamaan dengan agenda yang dibincangkan dalam Umno.

“Sebenarnya itulah juga agenda yang kita ada pada WINS. PAS ada WINS, Wawasan Negara Sejahtera memang dah ada, lebih kurang sama dengan apa yang digagaskan oleh biro hari ini,” katanya.

Sementara itu, Idris ketika ditanya kehadiran PAS menjelaskan presiden parti itu, Abdul Hadi Awang tidak hadir ke PAU kerana mempunyai komitmen kuliah selain faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Dia kami wakili ke sini. Dan Timbalan Presiden (PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man ada urusan lain,” katanya.

Ditanya sama ada ketegasan Zahid dalam ucapan dasarnya memberi isyarat bahawa kerjasama Umno-PAS bakal direalisasikan, Idris menjawab: "Dah terang lagi bersuluh.”

Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata PAS menyerahkan kepada pihak berkuasa berhubung keputusan menangguhkan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.

Katanya, PAS tidak mengetahui konteks penuh keputusan berkenaan namun berharap Najib mendapat keadilan sewajarnya.

“Itu kita serahkan kepada pihak berkuasa sebab kita tak faham dalam konteks apa yang ada, cuma kita mendoakan beliau diberikan keadilan yang sepatutnya,” katanya.