Pemimpin Umno menyifatkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 wajar disegerakan kerana keretakan hubungan antara Umno dan PH semakin jelas selain keyakinan rakyat terhadap kerajaan kini juga turut terhakis.

Ketua Umno Selayang, Hasnal Rezua Merican, berkata rakyat mengetahui dan memahami keretakan politik yang berlaku meskipun di peringkat kerajaan nampak baik.

"Kalau hubungan (antara parti) tak mencerminkan keharmonian dan referendum rakyat tak yakin dengan kerajaan apatah lagi kerajaan ini pun bukan kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

"Apa salahnya jika kembalikan mandat rakyat," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno 2026 sekali lagi mengulangi gesaan supaya PRU-16 disegerakan.

"PRU-16 adalah detik penentuan bagi kita mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan. Ini bukan desakan, ini bukan harapan, ini kehendak rakyat.

"Justeru, telah tiba masanya PRU-16 perlu segera diadakan. Setuju? Alang-alang menyeluk pekasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita dah berlawan, kita lawan, lawan sampai (menang)," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar.

Hasnal berkata, keretakan hubungan antara Umno dan PH akan terus melebar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung.

"Di pentas politik keretakan itu nyatakan, walaupun hubungan dalam kerajaan nampak ok, tapi berapa lama, lepas ni (PRN) Melaka mungkin bergasak lagi," katanya lagi.

Ketua Umno bahagian Seputeh, Razlan Rafii pula berpendapat sebagai tunjang kepada kerajaan perpaduan, seruan Umno sewajarnya didengari oleh PH.

Katanya seruan Zahid untuk PRU-16 diadakan awal juga adalah wajar kerana usia kerajaan kini telah hampir kepada empat tahun pentadbiran.

"Kita hormat kerajaan perpaduan, merajaan ini dibentuk dengan kerjasama PH-BN. Kalau rakan bersama (membentuk) kerajaan telah minta untuk lakukan PRU awal dalam masa terdekat rakan satu lagu sepatutnya bersetujulah.

"Tak perlu untuk tangguh lagi...penggal ini nak masuk empat tahun. Tiga tahun adalah perkara biasa untuk kita buat PRU," katanya kepada Malaysiakini.

Nada sama turut disuarakan, Exco Pergerakan Pemuda Umno Fariz Hazurin Ismail menyifatkan jika sudah tidak ada keserasian dalam hubungan sewajarnya "dilepaskan".

"Kita berkawan, tapi tak macam kawan. Kita ini berkahwin, suami isteri, tapi sebelum tidur, mata suami dah lebam, bertumbuk. Jadi, kalau perkahwinan ini dah tak ada keserasian, dah tak ada sayang, dah tak ada cinta alangkah baiknya kalau kita berpisah lebih awal.

"Alangkah baiknya jika pilihan raya ini diadakan lebih awal supaya kita pulangkan balik mandat rakyat ini, serahkan balik untuk rakyat menentukan siapa parti yang—pada hemat rakyat itu—wajar dan sesuai untuk memimpin dan seterusnya mengangkat seorang individu untuk menjadi pentadbir negara," katanya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi Exco Pemuda Umno, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan, berkata sewajarnya PRU-16 diadakan awal untuk "bertempur" bagi membolehkan rakyat menentukan mandat baru.

Apatah lagi katanya, Umno kini berada di landasan terbaik untuk kembali menerajui negara.

"Kita nak bercerita berkenaan dengan pengkhianatan ni adalah satu bentuk yang subjektif. Tapi kita lihat terutamanya rakan-rakan gabungan ni terlalu banyak mengguris hati, menghina Umno.

"Pelbagai bentuk tekanan yang dilakukan kepada pemimpin-pemimpin Umno. Mereka memerlukan sokongan, tapi dalam waktu yang sama mereka memberikan tekanan.

"Jadi, itu adalah satu bentuk ketidakadilan buat Umno, dan Umno berhak untuk menyatakan pendiriannya," katanya.