Seorang daripada pemimpin Umno Kelantan yang garang mengkritik PAS sebelum ini tampil memohon maaf dan menarik balik kata-kata yang sempat dilemparkannya kira-kira empat tahun lalu.

Semasa membahaskan ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bagi mewakili Umno Kelantan hari ini, Zawawi Othman berkata dia pernah menggelarkan pemimpin tertentu PAS sebagai “tiga jahanam.”

Ketua Penerangan Umno Kelantan itu berkata, dia memperkecilkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan gelaran tertentu sedangkan pada masa sama, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan sikap berjiwa besar.

'PAS, saya minta maaflah dahulu saya kata 'tiga jahanam'. Itu dulu.

"Sekarang, saya hulurkan tangan untuk berbaik sangka, untuk kita mengangkat agama kita dalam negara kita, untuk kita menyatukan bangsa kita tanpa kita menidakkan bangsa lain dalam negara kita.

"Marilah bersama-sama mempertahankan agama, bangsa, dan tanah air. Marilah bersama-sama," katanya.

Pada 19 Mac 2022, Zawawi menggelar pemimpin kanan PAS sebagai “tiga jahanam” yang menjadi faktor Umno Kelantan menolak sebarang kerjasama dengan parti itu. Selain Abdul Hadi, dua yang lain ialah Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah; serta Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Alasan Zawawi, ketiga-tiga mereka "bermulut jahat".

Dua hari kemudian dia yang juga Ketua Umno Pasir Puteh itu mengambil tanggungjawab atas kenyataan berkenaan.

Kenyataan Zawawi itu mengundang bantahan daripada PAS yang tidak berpuas hati dengan label tersebut.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak dapat menerima pemimpinnya digelar sebagai "tiga jahanam" malah Umno wajar bersikap menghormati semua parti politik.

"Saya menolak kenyataan itu (tiga jahanam) yang saya anggap sebagai melampau," kata Tuan Ibrahim.

Dalam ucapannya di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur hari ini, Zawawi mendakwa Umno tidak menyimpan rasa bermusuh terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, namun tidak senang dengan caranya yang didakwa mengikut kehendak “penasihat” yang ada.

Keadaan itu, dakwa Zawawi, menyebabkan Umno “dibuli.”

"Kami tidak membenci kamu, tetapi kami melihat kamu telah banyak mendengar penasihat-penasihat di sekeliling kamu.

"Terlalu akur sangat kepada kehendak DAP sehinggakan kami dibuli," katanya lagi.