Umno memang mahu PRU segera, tapi terserah pada k'jaan tentukan
Umno, kata Mohamad Hasan, sekadar mahu mendapatkan mandat baru daripada rakyat menerusi PRU bagi menentukan hala tuju pentadbiran negara, namun terserah kepada kerajaan untuk menentukan waktunya.
Timbalan Presiden Umno itu menjelaskan kerana itulah Umno menyuarakan pandangan agar PRU ke-16 diadakan lebih awal tanpa perlu menunggu penggalnya tamat.
Katanya, rakyat perlu diberikan peluang untuk menentukan kerajaan dan hala tuju politik negara menerusi pilihan raya.
“Sekarang dah lebih daripada tiga tahun (sejak penggal semasa bermula).
“Biasanya mood untuk buat menggerakkan pilihan raya itu memang selalunya (akan berlaku) selepas tiga tahun. Sama ada nak dibuat atau tidak, itu terpulanglah, kerana parti politik akan sentiasa mahu mengambil mandat yang baru daripada rakyat.
“Umno sebagai salah sebuah parti politik yang juga mempunyai kepentingan dalam politik tanah air, kita nak supaya kita mendapat mandat baru daripada rakyat ataupun pengundi,” katanya.
Mohamad yang juga menteri luar berkata demikian melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Katanya seruan supaya PRU dipercepatkan perlu dilihat dalam konteks keperluan mendapatkan mandat rakyat bagi membentuk kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu lagi, keputusan mengenai tarikh PRU bagaimanapun tertakluk kepada perkembangan politik dan pentadbiran semasa.
Seruan mempercepatkan PRU sebelum ini disuarakan beberapa pemimpin Umno, termasuk dalam ucapan dasar presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, semalam, bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan yang mereka mahu.
/file/attachments/orphans/mk-big-picture-12092026-01_327353.jpg)
