Umno menggesa siasatan berhubung penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mempengaruhi perbincangan politik di Malaysia dilakukan secara adil tanpa mengira parti politik atau pihak yang terlibat.

Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said, berkata pendedahan mengenai operasi membabitkan kira-kira 1,000 akaun X palsu, laman berita rekaan dan kandungan berunsur tuduhan palsu perlu diberi perhatian serius.

Katanya, walaupun belum ada bukti operasi itu berjaya mengubah keputusan pilihan raya atau pendirian pengundi, pihak yang mengendalikan dan membiayainya serta kepentingan di sebalik operasi itu perlu dikenal pasti.

“Persoalan penting sekarang ialah siapa yang mengendalikan operasi ini, siapa yang membiayainya dan untuk kepentingan siapa ia dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan kandungan media sosial kerana berita sebenar boleh dicampurkan dengan cerita separuh benar, tajuk mengelirukan atau fakta yang dikeluarkan daripada konteks.

Katanya, penggunaan akaun palsu atau bot berasaskan AI untuk memanipulasi ruangan komen juga membimbangkan kerana pengulangan komen oleh puluhan atau ratusan akaun boleh mewujudkan gambaran seolah-olah ia pandangan majoriti.

“Apabila perkara sama diulang oleh puluhan atau ratusan akaun, orang ramai boleh mendapat gambaran seolah-olah itulah pendapat majoriti rakyat.

“Banyak komen tidak semestinya bermakna ramai rakyat berpendapat begitu. Komen yang paling kuat, paling banyak atau paling kerap diulang juga tidak semestinya benar,” katanya.

“Tidak semua akaun yang kelihatan seperti manusia sebenar semestinya mewakili manusia sebenar, dan tidak semua perbualan di media sosial berlaku secara organik,” katanya.

Sebelum ini, Syarikat kecerdasan buatan (AI) Anthropic mendedahkan satu usaha terancang yang dipercayai menggunakan AI Claude untuk memanipulasi politik di Malaysia, termasuk mengurus lebih 1,000 akaun palsu di X, menghasilkan kandungan politik dan membina laman berita rekaan.

Operasi itu turut menggunakan data banci dan pilihan raya bagi mengenal pasti kumpulan pengundi berdasarkan kaum, agama dan institusi diraja, selain menghasilkan tontonan serta interaksi buatan untuk menyokong tokoh politik tertentu.

Anthropic berkata pihak terbabit turut cuba mendapatkan kontrak dengan “pengawal selia komunikasi Malaysia”, namun tiada bukti usaha itu berjaya.

MCMC menafikan terlibat dalam sebarang aktiviti seperti yang dihuraikan dalam laporan Anthropic dan berkata pihaknya sedang mengumpulkan maklumat lanjut. Laporan itu turut mendapati laman berita rekaan Malaysia Pulse dan akaun yang dikaitkan dengan operasi berkenaan kini tidak lagi boleh diakses.

Dalam pada itu, Azalina berkata Umno juga tidak terkecuali daripada serangan persepsi, namun parti itu tidak menganggap semua kritikan sebagai palsu atau dilakukan bot.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik Umno, kerajaan atau mana-mana pemimpin. Kritikan yang berasaskan fakta mesti dihormati,” katanya.

Azalina berkata Penerangan Umno mengambil maklum penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung laporan itu, namun berharap siasatan dan tindakan penguatkuasaan dilakukan secara adil tanpa mengira parti.

“Jika penyokong parti pemerintah melanggar undang-undang, ambil tindakan. Jika penyokong parti pembangkang melanggar undang-undang, ambil tindakan.

“Undang-undang tidak boleh mempunyai satu ukuran untuk kawan dan satu lagi ukuran untuk lawan,” katanya.

Dia turut menyeru rakyat menyemak sumber dan fakta serta membezakan berita dengan pendapat sebelum mempercayai kandungan media sosial.

“Teknologi boleh menghasilkan seribu akaun dan seribu komen. Tetapi teknologi tidak boleh menentukan kebenaran dan apa yang sebenarnya rakyat rasai di bawah,” katanya.