Umno kini dilihat lebih cenderung memfokuskan rundingan dengan PAS berbanding Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kecenderungan itu dapat dilihat menerusi perbahasan dan pandangan yang disuarakan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2026.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum menjadi keputusan rasmi parti kerana rundingan pilihan raya masih belum bermula.

“Kalau kita lihat daripada perbahasan-perbahasan dan daripada perwakilan-perwakilan, wujud kecenderungan untuk kita memfokuskan kepada perundingan dengan kepimpinan PAS berbanding dengan melihat dalam konteks Perikatan Nasional itu sendiri.

“Dalam konteks ini sudah tentu kepimpinan akan mengambil kira pandangan-pandangan yang dilontarkan dalam Perhimpunan Agung Umno” katanya pada sidang media di Laman Media, WTC Kuala Lumpur hari ini.

Asyraf berkata Umno sebelum ini memang mengadakan rundingan dengan PAS dan PN ketika menghadapi pilihan raya terdahulu.

Katanya, bentuk rundingan untuk pilihan raya akan datang hanya akan ditentukan selepas pembubaran berlaku, seperti yang dilakukan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“Buat masa ini terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai bentuk kerjasama kerana rundingan secara rasmi belum bermula.

“Seperti yang disebut oleh presiden, tunggulah apabila pembubaran berlaku, barulah perundingan itu akan dimulakan.

“Itu yang berlaku di Johor, itu juga berlaku di Negeri Sembilan. Bila pembubaran diisytiharkan, maka perundingan bermula. Perundingan tidak bermula sebelum pembubaran,” katanya.

Dia berkata jawatankuasa rundingan bagi menentukan bentuk kerjasama itu akan dibentuk oleh kepimpinan parti apabila tiba masanya.

Mengulas kemungkinan Umno tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang, Asyraf berkata perkara itu masih terlalu awal untuk disimpulkan.

Katanya, Umno masih berpegang kepada perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia dan tidak akan mengubah kerajaan hanya untuk menukar perdana menteri sebelum pilihan raya.

“Ia tidak retak menanti belah sebabnya kita masih lagi berpegang kepada perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Selagi mana kita belum sampai tempoh ataupun pilihan raya, selagi mana asasnya, kita tidak akan menebuk atap ataupun merubah kerajaan ini dengan perubahan hanya sekadar perdana menteri,” katanya.

Menurut Asyraf, Umno juga berpandangan rakyat sepatutnya diberikan peluang untuk menentukan mandat baru apabila tiba masa pilihan raya.

Dia berkata gagasan besar yang ingin dibawa parti kepada rakyat perlu mendapat mandat jelas daripada rakyat, bukannya dilaksanakan tanpa terlebih dahulu memperoleh mandat berkenaan.

Mengenai perbezaan istilah Kerajaan Madani dan Kerajaan Perpaduan Malaysia, Asyraf berkata penggunaan gagasan Malaysia Madani tidak menjadi masalah, namun kerajaan semasa perlu terus dirujuk berdasarkan perjanjian pembentukannya sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Katanya, perjanjian berkenaan melibatkan 18 parti dan kerajaan itu bukan kerajaan yang dibentuk oleh satu parti sahaja.

“Kerajaan ini bukan kerajaan satu parti. Kerajaan itu peringkat awal ada dua parti, BN dan PH.

“Apabila Datuk Seri Anwar mengangkat sumpah, sebuah perjanjian yang melibatkan 18 parti dimaktubkan dan perjanjian itu dinamakan Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Asyraf turut menegaskan perjanjian kerjasama politik itu hanya terpakai sehingga pilihan raya, termasuk apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Katanya, selepas pembubaran, setiap parti berhak menentukan hala tuju dan rakan kerjasama masing-masing.

“Johor tidak terpakai, Negeri Sembilan tidak terpakai bila kita bubar saja, maknanya terserah kepada parti-parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

“Saya tidak menjangkakan di Sabah dan Sarawak pun mereka akan dictate untu bekerjasama. Mereka ada hak untuk memilih rakan, siapa yang mereka akan melakukan kerjasama politik,” katanya.

Umno kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bersama PH berdasarkan perjanjian yang dimeterai selepas PRU15. Namun, kerjasama Umno-PH kebelakangan ini dilihat tegang, termasuk hubungan antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam masa sama, wujud kecenderungan dalam Umno untuk membuka rundingan dengan PAS, parti terbesar dalam PN termasuk mengadakan kerjasama semasa Pilihan Raya Negeri di Negeri Sembilan.

Umno dan PAS sebelum ini pernah bekerjasama melalui Muafakat Nasional, tetapi hubungan itu berakhir sebelum PAS menyertai PN.