Ketua Umno Sepang, Noorazli Said, membidas pemimpin DAP yang mempersoalkan keikhlasannya permohonan maaf kerana mememtik jenaka kontroversi melibatkan paderi dan biarawati Katolik.

Dia yang juga Bendahari Umno Selangor turut mempersoalkan siapa mereka untuk menghakimi apa yang ada dalam hatinya.

“Siapakah kita sebagai manusia untuk menentukan sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak dalam hatinya?” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Noorazli semalam memohon maaf berhubung kenyataannya jika ia menyinggung perasaan mana-mana penganut Kristian.

Bagaimanapun, sebelum itu, ketika memberitahu kesediaannya memohon maaf kepada Malaysiakini, dia mempertahankan kenyataan berkenaan dengan berkata bahawa “jenaka” itu telah tersebar secara meluas sebelum diungkapkannya.

Respons itu mendorong Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera), Lee Chin Chen (Adun Bilut dan Timbalan Speaker Pahang) serta Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) secara berasingan menolak apa yang mereka sifatkan sebagai permohonan maaf “bersyarat”.

Noorazli hari ini berhujah bahawa keikhlasan seseorang tidak boleh “ditimbang berdasarkan neraca politik” atau diukur berdasarkan sama ada orang lain bersetuju dengan kata-kata yang digunakan dalam permohonan maaf atau tidak.

“Betulkan saya jika saya silap. Kritik kenyataan saya jika anda tidak bersetuju. Tetapi jangan mendakwa mengetahui apa yang ada dalam hati saya,” katanya.

Noorazli sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk menghina Kristian, penganut agama itu, paderi atau biarawati.

Dia juga mengakui bahawa rujukannya kepada ayat Mazmur ke-129 ketika berucap semasa perhimpunan Umno itu adalah tidak tepat.

“Jika apa yang saya katakan menyinggung perasaan masyarakat Kristian, saya memohon maaf. Itu pendirian saya,” katanya.

Noorazli turut mendakwa ada seorang paderi di kawasannya telah menghubungi dan memberikan kata-kata semangat.

Dengan memetik petikan dari Perjanjian Baru dalam kitab Efesus, Kolose dan Matius mengenai sifat belas kasihan dan pengampunan, Noorazli mempersoalkan mereka yang menyeru kepada sikap bertolak ansur patut menolak permohonan maaf atas dasar politik.

“Jika setiap permohonan maaf perlu terlebih dahulu melalui penilaian politik sebelum boleh diterima, bilakah masyarakat kita akan dapat berdamai?

“Adakah ini politik nilai yang mahu kita bawa ke masa hadapan?” soalnya.

Walaupun Noorazli membidas DAP, parti itu bukan satu-satunya pihak yang mengkritik kerana jenaka yang dipetik itu serta menggesanya agar memohon maaf.

Turut membuat teguran ialah Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, selain Pengerusi BN, Sabah Arthur Joseph Kurup; Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, serta ahli politik Upko, Warisan dan Parti Wawasan Negara.

Tidak cukup dengan itu, menteri perpaduan itu juga menggesa agar Noorazli disiasat polis.