Zahid dikecam buat lawak penampilan fizikal, Noraini bukan satu-satunya sasaran
Ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) bukan sahaja provokatif dari sudut politik, malah sarat dengan sindiran peribadi, daripada mencabar kerajaan Madani untuk menyingkirkan Umno dari Putrajaya dan mengadakan pilihan raya baru, hinggalah membuat jenaka mengenai penampilan fizikal pemimpin lain.
Walaupun anak perempuannya, Nurulhidayah, yang juga Exco Wanita Umno telah pun memohon maaf susulan kenyataan bapanya mengenai berat badan Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, ia tidak menghalang Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Kasthuri Patto daripada mengkritik keras ahli politik veteran itu.
Bagaimanapun, Kasthuri nampaknya tidak menyedari bahawa Zahid turut membuat jenaka mengenai penampilan fizikal pemimpin politik lelaki, termasuk Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, ketika dia mempersoalkan sama ada Zahid pernah membuat komen serupa terhadap lelaki, termasuk mengenai “gigi mereka, rambut mereka yang semakin menipis, atau malah penampilan fizikal mereka yang mungkin sudah berubah berbanding dahulu”.
“Adakah YB keluarkan kenyataan merujuk kepada rupa paras pemimpin lelaki di dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini?
“Tentang gigi mereka, ataupun rambut mereka yang semakin sedikit mahupun paras fizikal mereka yang berbeza dari sebelumnya?
“Atau hanya tergerak hati untuk memperli atau memberikan komen kepada pemimpin wanita sahaja tanpa segan atau malu?” soalnya.
Dalam ucapannya, Zahid menggunakan istilah “bulat” bagi merujuk kepada Rauf, yang mempunyai tubuh badan berisi.
“Kalau Melaka dianggap ‘bulat’ kerana Rauf, insya-Allah, bukan hanya satu formula. Johor, Negeri Sembilan, Melaka pula selepas ini? Saya cuma bertanya siapa yang ‘bulat’, bukan mahu mengeruhkan keadaan.
“Sebelum ini, pegawai saya menasihatkan supaya saya bercakap dengan lebih serius sedikit, tetapi akhirnya, terpulang kepada saya apa yang saya mahu katakan,” katanya.
Mengulas kenyataan Zahid mengenai berat badan Noraini dan gesaannya supaya Noraini makan lebih banyak, Kasthuri berkata komen sebegitu tidak boleh diterima sebagai gurauan semata-mata, seperti yang cuba dilakukan anak Zahid dengan menegaskan bahawa bapanya tidak pernah berniat merendahkan sesiapa.
“Kenyataan YB mengenai rupa paras Dr Noraini tidak boleh diterima sebagai satu gurauan semata-mata, menyindir seseorang atas dasar rupa fizikal menunjukkan betapa rendahnya pandangan YB terhadap pemimpin wanita.
“Ini terbukti kerana YB tidak mengeluarkan apa-apa komen mengenai rupa paras fizikal pemimpin lelaki yang lain," katanya.
Kasthuri menegaskan bahawa pemimpin tidak sepatutnya dinilai berdasarkan penampilan, bentuk tubuh atau ciri wajah mereka, sebaliknya berdasarkan prinsip, perjuangan dan pendirian, selain visi politik serta ketegasan mereka untuk masyarakat dan negara.
“Komen YB sememangnya tidak sedap didengar dan menghina wanita dalam arena politik. Walaupun YB Noraini dan saya daripada parti yang berbeza, saya tetap akan memberikan respons yang sama apabila mana-mana wanita dalam landskap politik menjadi mangsa patriarki politik.
“Di mana pula suara ketua penerangan Puteri Umno yang baru dilantik?” soalnya, merujuk kepada anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak, Nooryana.
Terdahulu, Zahid dilaporkan mengusik Noraini ketika menyampaikan ucapan penggulungan, dengan berkata Noraini kelihatan semakin kurus.
Dia juga bertanya kepada Noraini sama ada Ahli Parlimen Parit Sulong itu mengambil suntikan tertentu yang menyebabkan tubuhnya menjadi begitu kurus.
“Daripada macam ini, dia sudah jadi macam ini,” katanya sambil membandingkan ibu jarinya dengan jari kelingking.
“Adakah kamu ambil suntikan? Bukan Ozempic atau Mounjaro?” soalnya, merujuk kepada suntikan yang dikatakan boleh membantu penurunan berat badan.
Zahid turut berkata dia juga pernah mencuba suntikan berkenaan atas desakan isterinya, Hamidah Khamis, namun tidak berhasil kerana berat badannya kekal sama.
Sementara itu, dalam hantaran Instagram yang memaparkan gambarnya bersama Noraini, Nurulhidayah mengakui bahawa kenyataan bapanya telah mengguris hati sesetengah anggota Wanita Umno, sambil menegaskan bahawa penampilan fizikal mahupun usia tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka.
“Secara peribadi, saya percaya dan sangat yakin bahawa presiden Umno mungkin berniat untuk bergurau dan tidak bermaksud merendahkan sesiapa, tetapi kadangkala gurauan yang tidak dijaga boleh memberi kesan berbeza kepada orang yang mendengarnya,” tulisnya.
Dia juga turut menyorot penggunaan frasa “jentera nenek” oleh Zahid, sambil memberi amaran bahawa ia boleh membawa gambaran seolah-olah wanita tidak lagi mampu memimpin atau menyumbang kepada parti.
“Jika datuk masih boleh memimpin, mengapa tidak nenek? Mereka adalah antara tonggak Umno yang paling setia, bekerja ketika susah dan senang tanpa meminta banyak,” katanya.
Nurulhidayah berkata dia sendiri mendengar daripada anggota Wanita Umno yang kecewa dengan kenyataan Zahid selepas ucapan penggulungan beliau pada PAU 2026.
“Jika ada yang terluka, khususnya Kak Ani (Noraini), saya secara peribadi, dengan rendah hati dan hati yang terbuka, sebagai seorang anak, memohon maaf atas kata-kata atau gurauan beliau di atas pentas pada Perhimpunan Agung Umno,” katanya.
/file/attachments/orphans/zahidspeechatumnoagm2026091101_624162.png)
