Houthi bedil Makkah, Arab Saudi lancar serangan balas
Kumpulan Houthi dari Yaman melaporkan serangan udara baharu oleh Arab Saudi pada Rabu, ketika Riyadh menuduh kumpulan itu melancarkan serangan "pengecut" yang menyasar kota suci umat Islam, Makkah.
AFP melaporkan kumpulan Houthi dengan pantas menolak kenyataan awal pagi Riyadh sebagai "pembohongan" yang mendakwa mereka telah menembak jatuh sebuah dron yang menuju ke Makkah, namun tuduhan itu mencetuskan kemarahan daripada seluruh dunia Islam.
Pertempuran baharu antara kumpulan Houthi dan kerajaan Yaman yang disokong Riyadh kembali mengheret kerajaan itu ke konflik, selepas kumpulan Houthi mengumumkan sekatan maritim ke atas kapal Arab Saudi di Laut Merah.
Minggu lalu, kumpulan Houthi menguasai keseluruhan pesisir Laut Merah Yaman dan Selat Bab al-Mandab, iaitu laluan utama eksport minyak Arab Saudi ketika perang Asia Barat yang lebih luas menjejaskan laluan perkapalan Selat Hormuz.
/file/attachments/orphans/houthixsaudi15_331893.png)
Kementerian Luar Arab Saudi mengecam tindakan menyasar Makkah sebagai "serangan pengganas yang pengecut" dan menegaskan semula hak kerajaan itu untuk "mempertahankan keselamatan dua masjid suci, jemaah, serta seluruh wilayah Arab Saudi."
Bagaimanapun, anggota biro politik Houthi, Hazem al-Assad, menolak tuduhan itu sebagai "pembohongan lama yang pernah digunakan sebelum ini dan tidak lagi memperdaya sesiapa."
Ogos lalu, seorang penduduk Makkah yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa dia "melihat beberapa orang panik dan berlari ke tingkap untuk melihat apa yang berlaku" selepas penduduk tempatan menerima amaran serangan pada telefon bimbit.
Namun, dia menambah, "kehidupan di Makkah berjalan seperti biasa."
Arab Saudi pernah menuduh kumpulan Houthi melancarkan serangan ke arah Makkah dalam konflik terdahulu.
Koalisi pimpinan Arab Saudi yang menentang kumpulan itu berikrar untuk membalas dendam, dengan menyatakan "keselamatan dua Masjid Suci dan para jemaah ialah garisan merah."
"Koalisi tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang perlu dan bersifat pencegahan terhadap Milisia Pengganas Houthi."
Pada Rabu malam, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata "pesawat perang Arab Saudi melancarkan 40 serangan udara... menyasar wilayah Taiz, Marib dan Hodeidah sepanjang 24 jam lalu."
/file/attachments/orphans/houthixsaudi1_990948.png)
Dia sebelum ini menyatakan jumlah serangan Arab Saudi yang dilancarkan sepanjang minggu lalu melebihi 450, dan berkata sebagai tindak balas, kumpulan itu menyasar sebuah pangkalan udara Arab Saudi serta kemudahan syarikat minyak negeri di kota pelabuhan Laut Merah, Yanbu.
Kumpulan itu juga mendakwa pada Rabu bahawa dia telah menembak jatuh sebuah jet tempur Arab Saudi.
'Bukankah mereka orang Islam?'
Arab Saudi mengeluarkan amaran pada Selasa berhubung kemungkinan berlaku serangan di Makkah dan di beberapa bahagian di wilayah selatan.
"Saya tidak menafi kami berasa takut," kata seorang lagi penduduk Makkah yang enggan dikenali.
"Bukankah mereka orang Islam? Mereka menyasar kota paling suci. Apa yang ada di dalam untuk disasar?"
Semasa ibadah haji tahun ini, kementerian pertahanan Arab Saudi mengeluarkan video yang menunjukkan bateri pertahanan udara canggih ditempatkan di pinggir Makkah.
Pertubuhan Kerjasama Islam – sebuah blok 57 negara Islam – mengecam "serangan kejam" itu, manakala ketua Liga Arab, Nabil Fahmy menggelarnya sebagai "perkara yang amat serius."
Kementerian luar Turkiye mengecam serangan itu dengan "sekeras-kerasnya". Kerajaan Mesir, Lebanon, Syria dan Pakistan turut menyuarakan kemarahan.
Perang saudara di Yaman se sebahagian besarnya reda sejak 2022, namun pertempuran kembali tercetus pada Julai apabila kumpulan Houthi, yang bertahun-tahun menguasai sebahagian besar wilayah utara, melancarkan serangan berskala besar terhadap pasukan kerajaan.
/file/attachments/orphans/houthixsaudi13_961229.png)
Konflik di negara termiskin di Semenanjung Arab itu memaksa lebih 100,000 orang melarikan diri dari rumah mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Wakil tetap Yaman ke PBB, Abdullah al-Saadi berkata kerajaan sedang berjuang untuk memulihkan "institusi nasional di setiap inci" negara itu, dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap kumpulan Houthi.
Pertempuran berhampiran sempadan
Pasukan kerajaan Yaman bertempur dengan pejuang Houthi berhampiran sempadan Arab Saudi, dengan rakaman AFP menunjukkan askar dalam kenderaan perisai dan trak bergerak merentasi kawasan padang pasir di bawah deruman tembakan mesingan.
Dua sumber tentera memberitahu AFP pada Rabu bahawa pasukan kerajaan sedang menentang kumpulan Houthi untuk menguasai kem Al-Labanat, yang mana penguasaannya secara teori akan membuka laluan ke Al-Hazm, ibu negeri wilayah Al-Jawf, sejauh 50 kilometer.
Dengan tindakan kumpulan Houthi menyasar kapal Arab Saudi di Laut Merah, pemimpin de facto kerajaan itu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada Selasa menggesa kebebasan navigasi di laluan air tersebut, yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Terusan Suez, sumber pendapatan penting bagi Kaherah.
Media AS melaporkan minggu lalu bahawa putera mahkota membuat permintaan peribadi kepada Presiden Donald Trump untuk campur tangan AS, tetapi ditolak.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/cb9ee4604b812ef007d3ebc16c52890f.jpg)
Satu pasukan tugas tentera AS sedang berusaha meningkatkan perkongsian maklumat intipan dan bantuan perancangan untuk pasukan Arab Saudi, kata seorang pegawai AS kepada AFP pada Selasa.
Kumpulan Houthi menegaskan tiada ancaman terhadap navigasi di Selat Bab al-Mandab kecuali bagi kapal Arab Saudi, namun sebarang serangan di laluan air itu berkemungkinan menyebabkan syarikat perkapalan kurang berminat untuk menggunakannya.
/file/attachments/orphans/test111_792823.png)
