Jerebu: AMK persoal pendekatan diplomasi, gesa akta rentas sempadan diteruskan
Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Nabil Halimi mempersoalkan keberkesanan pendekatan diplomasi dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan yang terus berulang.
Menurutnya, rundingan dan kerjasama semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan perlu diteruskan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terbukti menyebabkan pencemaran.
“Setiap kali jerebu kembali, rakyat Malaysia yang menanggung akibatnya. Kesihatan terancam, kegiatan harian terganggu dan wang awam terpaksa digunakan untuk menangani kesan pencemaran.
“Tidak boleh pihak lain mengaut keuntungan, tetapi rakyat kita pula menanggung bil pencemarannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nabil berkata Asean sudah mempunyai Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) sejak lebih dua dekad lalu, disusuli Pelan Hala Tuju Kedua Asean Bebas Jerebu 2023-2030.
Namun, dia mempersoalkan sampai bila penyelesaian terhadap masalah itu hanya berkisar kepada mesyuarat, kenyataan bersama dan janji meningkatkan kerjasama.
“Saya menghormati semangat Asean Way. Tetapi prinsip tidak campur tangan tidak boleh menjadi lesen untuk mencemarkan udara jiran.
“Apabila pencemaran menyeberangi sempadan, ia bukan lagi semata-mata urusan domestik sebuah negara.
“Hak rakyat untuk menikmati udara bersih dan kehidupan yang selamat tidak boleh terus dikompromi demi menjaga keselesaan diplomatik,” katanya.
Nabil turut membangkitkan keputusan kerajaan pada 2020 untuk tidak meneruskan cadangan undang-undang berhubung jerebu rentas sempadan.
“Jika diplomasi dianggap memadai, mengapa rakyat masih menanggung masalah yang sama?” soalnya.
RUU tak diteruskan pada 2020
Cadangan menggubal undang-undang khusus bagi menangani jerebu rentas sempadan bukan perkara baru.
Susulan krisis jerebu pada 2019, Akademi Sains Malaysia (ASM) ditugaskan menjalankan kajian mengenai keperluan kerangka perundangan berkaitan pencemaran rentas sempadan.
Pada 12 Feb 2020, kabinet kerajaan Pakatan Harapan ketika itu bersetuju untuk memperkenalkan Rang Undang-undang Jerebu Rentas Sempadan.
Bagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan, kabinet Perikatan Nasional pada 24 Julai tahun sama memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan tersebut.
Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata antara pertimbangan kerajaan ialah kesukaran mendapatkan bukti seperti maklumat pemilik tanah, peta dan koordinat lokasi pembakaran daripada negara yang menjadi punca jerebu.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) ketika itu turut berkata penelitian terhadap cadangan berkenaan mengambil kira kebolehlaksanaan undang-undang, hubungan diplomatik dan elemen pencegahan pencemaran alam sekitar.
Kerajaan sebaliknya memilih pendekatan kerjasama dengan negara jiran dan anggota Asean untuk menangani masalah jerebu secara kolektif.
Isu penggubalan undang-undang itu kembali dibangkitkan selepas pertukaran kerajaan.
Pada 2023, kerajaan berkata ia tidak menutup pintu terhadap cadangan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dan sedang meneliti mekanisme serta instrumen perundangan yang sesuai.
Namun pada 2024, menteri sumber asli dan kelestarian alam ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata undang-undang berkenaan sukar direalisasikan tanpa persetujuan dua hala dengan negara terlibat, antaranya disebabkan cabaran penguatkuasaan merentasi bidang kuasa.
Nabil berkata penggubalan akta itu perlu diteruskan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terbukti menyebabkan pencemaran rentas sempadan, termasuk syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara.
Katanya, kerangka itu perlu memperkukuh kuasa penyiasatan, kewajipan penyerahan maklumat dan penalti terhadap pencemar.
Dia turut berkata usaha Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup ke arah memperkukuh perlindungan rakyat wajar diberikan sokongan.
Pada peringkat Asean, Nabil berkata Malaysia perlu menuntut perkongsian data yang telus serta tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dengan tempoh pelaksanaan yang jelas.
“Nyawa, kesihatan dan hak rakyat mesti mengatasi keselesaan diplomatik.
“Malaysia tidak boleh selamanya menanggung beban sikap lepas tangan negara jiran yang berminda kelas ketiga.
“Isu ini bukan sekadar perihal kualiti udara bersih namun perihal hak asasi manusia,” katanya.
/file/attachments/orphans/sdfsdfsdf_610831.png)
