Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Ab Ghani Hassan kini mengetuai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-29, selepas lapan bulan tiada teraju.

Dia dipilih ke jawatan itu bagi baki penggal 2025-29 pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM sempena Kongres Khas FAM Kedua 2026 di Petaling Jaya, hari ini.

Ab Ghani memperoleh 20 undi, menewaskan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Shahril Mokhtar yang hanya mendapat lima undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Tujuh pemain malaysia yang digantung Fifa (atas)

Pemilihan itu diadakan susulan keseluruhan Jawatankuasa Eksekutif FAM meletakkan jawatan beramai-ramai Januari lepas, susulan skandal pemalsuan status pemain warisan kira-kira setahun lepas.

Skandal itu menyaksikan FAM dan tujuh pemain didenda, pembatalan kemenangan beberapa perlawanan Harimau Malaya selain kemerosotan mendadak ranking dan hilang kelayakan ke Piala Asia.

Pembentukan semula jawatankuasa itu diihat penting, lebih-lebih lagi ketika pasukan kebangsaan bakal mengharungi Piala Fifa Asean minggu depan, kejohanan baru serantau dalam kalendar Fifa.