KOLUM | Barah sebenar yang tertimpa ke atas negara kita hari ini bukan lagi tentang isu rasuah, manipulasi, atau salah guna kuasa.
Yang jauh lebih membimbangkan ialah pemikiran masyarakat yang mula menjadikan segala bentuk penipuan, pembohongan dan penyelewengan ini sebagai satu norma atau kebiasaan.
Kebejatan moral ini terpampang jelas apabila Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dibentangkan secara rasmi baru-baru ini.
Dokumen bedah siasat oleh barisan pesuruhjaya berwibawa tersebut mendedahkan kelemahan tadbir urus, amalan perakaunan kreatif (creative accounting) dan kepincangan keputusan yang digerakkan oleh pertimbangan politik.
Secara rasional, pendedahan setebal 252 halaman itu sepatutnya mencetuskan gelombang besar kemarahan rakyat. Malangnya, reaksi sebahagian masyarakat bukannya terkejut, malah langsung tidak kisah.
Angka kerugian yang meranapkan rizab dan pelanggaran integriti agensi yang memegang amanah umat Islam itu hanya disambut dengan sinis dek ketaasuban politik.
Bagi mereka yang waras, laporan RCI itu adalah situasi yang sangat meresahkan. Kita terpaksa menerima hakikat pahit bahawa penyakit yang ada bukan lagi sekadar berada pada sistem, tetapi ia sudah berakar dalam jiwa masyarakat.
Kerosakan ini bukannya berlaku dalam sekelip mata dan spontan. Ia berlaku seraca sistematik dan bertapak menerusi ketaasuban kabilah politik kepartian serta pemujaan feudal – dua elemen yang kerap melumpuhkan daya kritis masyarakat.
Labun seorang ketua pemuda
Apabila sesebuah skandal terbongkar, penafian dan muslihat retorik dibuat dengan begitu bersahaja tanpa rasa malu walaupun seinci.
Lihat sahaja naratif yang dijaja semasa ceramah PRN Negeri Sembilan baru-baru ini. Ada pemimpin dengan megah mempertahankan pelanggaran Akta Tabung Haji semata-mata kerana tiada perkataan "sakau" dalam laporan RCI.
Untuk rekod, sukar untuk memahami mengapa perkataan slanga yang tiada dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu boleh digunakan dalam laporan bertaraf rasmi itu.
Malah, tindakan mengagihkan hibah secara tidak sah yang membelakangkan undang-undang diangkat kononnya sebagai “kesalahan yang tidak berdosa” demi kebajikan pendeposit.
"Yang ada dalam RCI tu tak adalah sakau pun. Yang ada cuma dibaginya dividen yang tinggi, itulah kesalahan utamanya. Kalau bagi dividen tinggi pada acik-acik yang simpan dalam Tabung Haji ini salah, tangkaplah semua pendeposit tu."

Begitulah lebong seorang ketua pemuda parti keramat di hadapan orang kampung. Lebih parah, masyarakat sendiri sudah mula menerima retorik ini dengan tenang dan bersahaja.
Lihat juga respons sebahagian orang awam semasa PRN Johor apabila ditanya mengenai skandal kewangan mega melibatkan seorang pemimpin yang kini sedang meringkuk dalam penjara:
"Kesalahan dia itu antara dia dengan Tuhan, yang penting masa memerintah dia banyak bantu rakyat."
Kenyataan itu jelas membuktikan masyarakat rela menjadi tuli terhadap skandal berbilion ringgit yang hutangnya terpaksa ditanggung oleh anak cucu kita nanti.
Apabila manipulasi, penyembunyian liabiliti dan kelonggaran etika dipraktikkan secara sistematik di segenap peringkat tanpa hukuman yang menggerunkan, masyarakat mula menerima hakikat bahawa memang begitulah cara dunia beroperasi.
Penipuan tidak lagi dinilai sebagai pengkhianatan atau dosa, sebaliknya diangkat sebagai satu strategi kelangsungan hidup yang bijak.
Dorongan nafsu populis
Jika kita mahu melihat bagaimana penipuan dan manipulasi ini begitu sebati dengan masyarakat, pandanglah juga ke arah ekosistem bola sepak negara kita.
Di sinilah amalan creative accounting dan manipulasi sistem tidak lagi dipandang sebagai satu jenayah pentadbiran, sebaliknya diangkat sebagai seni kelangsungan hidup (survival art).
Lihat sahaja bagaimana kelab-kelab tempatan bergelut setiap awal musim untuk meloloskan diri daripada syarat Lesen Kelab Malaysian Football League (MFL).
Demi menunjukkan penyata kewangan yang ‘sihat’ di atas kertas, angka-angka fantasi dicipta.
Surat hasrat penajaan yang belum tentu berbayar diiktiraf sebagai pendapatan pasti, manakala liabiliti gaji dikurangkan secara ilusi menerusi dokumen sampingan (phantom contracts) untuk mengelak komitmen rasmi.
Apabila krisis tunggakan gaji meletup pada pertengahan musim, modus operandinya tetap sama: buat perjanjian penyelesaian ansuran (settlement scheme) hanya untuk menukarkan status “Hutang Tertunggak” kepada “Hutang Masa Depan” di atas kertas, semata-mata demi mengelak pemotongan mata.

Benda ini berulang setiap tahun. Pengurusan kelab memanipulasi (baca: menipu) sistem penganjur, penganjur berpura-pura percaya, dan penyokong terus dihiburkan dengan ilusi kejayaan demi memastikan liga bola sepak yang kononnya ‘profesional’ itu terus bernyawa.
Pola ini langsung tidak berbeza dengan skandal perakaunan kreatif dan pelanggaran akta dalam Tabung Haji.
Kedua-duanya didorong oleh nafsu populis – maharkan imej cantik di hadapan khalayak, belanjakan wang yang tidak wujud, dan langgar kawalan risiko demi populariti.
Tetapi kerosakan paling dahsyat berlaku apabila ‘jalan pintas’ ini melampaui angka kewangan dan mula mencabul kedaulatan serta undang-undang negara.
Menipu jadi perkara biasa
Skandal pemalsuan dokumen pemain warisan yang menyaksikan denda jutaan ringgit dan penggantungan pemain oleh Fifa juga merupakan sebahagian daripada barah ini.
Apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan selamba menyerahkan dokumen yang diubah dan cuba membiasakan percanggahan tersebut di hadapan rakyat, kita tahu bahawa sempadan moral sudah lama runtuh.
Sama seperti pihak yang mempertahankan pelanggaran Akta Tabung Haji atas nama “dosa memberi hibah”, badan pengurusan bola sepak negara itu juga cuba ‘mencuci tangan’ dan melempar liabiliti kepada ‘pihak tertentu’ apabila penipuan itu ditelanjangkan di mata dunia.
Sampai masa, kita akan melihat bagaimana budaya ini mula meracuni asas pemikiran generasi seterusnya.
Apabila manipulasi dan ‘jalan pintas’ dinormalisasikan di peringkat atasan, kita sebenarnya sedang mendidik generasi muda bahawa kejujuran itu satu kelemahan dan penipuan itu adalah satu kemahiran.

Semuanya demi memuaskan kehendak populis hari ini. Kita bukan sahaja merosakkan masa kini, malah kita sedang memastikan negara ini dipimpin oleh generasi yang miskin jiwa dan akhlak pada masa hadapan.
Masalah anak menipu ibu bapa, murid menipu guru dan pekerja menipu majikan akan menjadi perkara ‘biasa’.
Kita perlu berani berdepan dengan cermin dan mengaku: masalah sebenar negara kita bukan lagi sekadar kewujudan penyakau dan perasuah. Masalah terbesarnya ialah masyarakat yang sudah mula lali dan merayakan penipuan tersebut selagi mana kepentingan peribadi atau kabilah mereka dipenuhi.
Selagi creative accounting dianggap sebagai seni kelangsungan hidup, selagi mana pelanggaran akta disucikan atas nama ‘budi’, dan selagi mana ‘tangan-tangan ghaib’ di belakang tabir terus kebal, selagi itulah kita akan terperangkap dalam kitaran krisis yang sama.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
