KOLUM | Ubat penenang bernama Lim You
KOLUM | Kehadiran Lim You dalam skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B17) negara di kejohanan Piala Srikandi Merdeka di Indonesia baru-baru ini meletupkan sorakan yang jarang kita dengar untuk arena bola sepak wanita tanah air.
Dilahirkan di Taiwan pada 14 tahun lalu, membesar pula dengan latihan Akademi XF di AS dan meledak tujuh gol untuk membelasah Arab Saudi 9-0 di Kudus – naratifnya cukup sempurna untuk dijadikan bahan sensasi media.
Di sebalik keghairahan merayakan anugerah kasut emas dan kejayaan meraih tempat ketiga kejohanan tersebut, timbul satu dilema: adakah kita sedang melihat hasil keberkesanan sebuah sistem yang terancang, atau sekadar bergantung kepada bakat ‘ekspres’ semata-mata?
Pencarian pemain warisan sememangnya menjadi trend global yang semakin dominan. Negara jiran seperti Filipina dan Indonesia telah mempelopori kaedah itu menerusi perancangan yang cukup agresif.
Justeru, tindakan pantas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi ruang dan mendaftarkan Lim You sebaik sahaja bakatnya dikenal pasti wajar diberi kredit.
Ia mencerminkan keterbukaan serta fleksibiliti yang positif, sekali gus meruntuhkan sebahagian tembok birokrasi lama yang pernah menyukarkan proses integrasi bakat diaspora.
Namun, di sebalik keterujaan ini, kemunculan Lim You sebenarnya membawa satu tamparan halus buat ekosistem tempatan.
Keupayaan seorang anak gadis berusia 14 tahun dari akademi AS mendominasi pentas serantau secara sekelip mata menelanjangkan hakikat bahawa sistem akar umbi kita belum berupaya melahirkan bakat pada aras teknikal sedemikian.
Risiko disambar orang
Tidak dinafikan tentang keperluan untuk membina sistem pencarian bakat dan pangkalan data diaspora yang proaktif, namun kita tidak boleh hanya bersenang-lenang atas bakat yang dibentuk oleh ekosistem luar.
Sekiranya kehadiran Lim You hanya dipandang sebagai keajaiban, kita berisiko untuk menjadi tidak efisyen atau mandom. Kita gembira merayakan hasil ladang orang lain kerana kebun sendiri belum berupaya menghasilkan buah berkualiti tinggi.
Keghairahan rakyat Malaysia juga perlu disulami dengan kewaspadaan. Kita tidak boleh lega sepenuhnya kerana beraksi untuk skuad bawah umur belum mengunci kesetiaan mana-mana atlet di peringkat senior mengikut statut Fifa.
Sekiranya bakat Lim You terus mekar luar biasa di AS – sebuah negera gergasi bola sepak wanita dunia – pintu untuk dia disambar oleh skuad kebangsaan negara tersebut sentiasa terbuka luas.
Apatah lagi dengan tawaran beraksi di pentas Piala Dunia jauh lebih terjamin.

Bergembira berlebihan dengan kehadiran remaja itu di peringkat muda tanpa membina sistem domestik yang mampan adalah ibarat bersorak untuk barang idaman yang hanya dipinjamkan sementara.
Lagipun, keputusan Lim You untuk terus pulang ke As bagi melengkapkan persekolahannya sejurus kejohanan tamat ialah bukti jelas bahawa ikhtiar sukan dan pendidikan tinggi mampu bergerak seiring di bawah perancangan yang betul.
Lebih bahaya, keterujaan merayakan pencapaian individu mudah mengheret FAM dan media untuk meletakkan beban harapan sebuah negara di atas bahu seorang anak gadis.
Perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Jordan membuktikan bahawa impak Lim You bukannya persembahan solo.
Keberkesanan dia untuk meledak gawang lawan hanya berlaku selepas wujudnya penyesuaian taktikal jurulatih serta sokongan padu rakan sepasukan.
Kedudukan ekosistem negara
Kita tidak boleh tergoda menjadikan kejayaan individu sebagai alasan untuk menutup kepincangan struktur pembangunan yang sebenar.
Jika Lim You pemain yang hebat, 10 orang rakan sepasukannya di atas padang juga perlu menghampiri atau menyamai kualitinya.
Perbezaan ketara antara acuan pembangunan di AS yang dinikmati Lim You dengan realiti tempatan terletak pada kekerapan minit perlawanan kompetitif yang konsisten serta pendedahan latihan berterusan.
Jika skuad kebangsaan kita masih berdepan masalah ketiadaan saingan tempatan yang kerap serta belum meluas menggunakan pendekatan sains sukan yang mengikut fisiologi wanita, perkembangan teknikal bakat besar seperti dia akhirnya akan terbendung.
Persoalan utama yang perlu dijawab bukan sekadar sejauh mana Lim You boleh membawa pasukan negara melangkah, tetapi sejauh mana ekosistem kita sedia menyokong bakat sepertinya.

Mengapa atlet muda tempatan kerap ‘cepat layu’ atau ‘cepat koyak’?
Jawapannya jarang terletak pada kelemahan mentaliti individu semata-mata, sebaliknya pada jurang transisi (transition gap) dan ketiadaan sistem sokongan (support system) yang selamat, beretika dan berstruktur.
Di peringkat umur 14 tahun, pertimbangan sains sukan seperti pengurusan beban latihan (load management) dan pemantauan risiko kecederaan amat kritikal.
Pendedahan atlet seawal usia itu dalam kejohanan kompetitif peringkat tinggi memerlukan perhatian khusus terhadap aspek fisiologi remaja agar tidak berlaku keletihan melampau atau kecederaan kronik pascakejohanan.
Pada masa sama, realiti sekarang menyaksikan pembangunan bola sepak wanita di peringkat umur masih banyak ditampung oleh pengorbanan peribadi, kewangan dan masa keluarga pemain itu sendiri.
Daya tahan kognitif yang tinggi
Di peringkat bawah 15 dan 17 tahun, ada ramai bakat yang menyinar namun mereka akhirnya ghaib apabila mencecah usia dewasa. Hal itu disebabkan ketiadaan saingan liga domestik yang mampan serta laluan kerjaya yang jelas.
Apabila bakat muda disuapkan dengan ekspektasi toksik di media sosial dan dibiarkan tanpa perlindungan psikologi, kejayaan awal mereka akhirnya membakar diri sendiri.
Di sinilah pentingnya konsistensi dalam meletakkan keutamaan bagi memastikan kestabilan pendidikan, pembinaan jati diri, persekitaran yang selamat dan sokongan psikologi.
Kita tidak boleh memaksa atlet wanita membuat pilihan sukar – antara sukan atau masa depan akademik mereka.

Menerusi integrasi bersama institusi pengajian tinggi dan jaminan biasiswa, pemain mampu memiliki daya tahan kognitif yang tinggi di atas padang dan pada masa sama mempunyai jaminan kerjaya.
Kita tidak mahu episod hitam yang pernah mencalar maruah skuad Harimau Malaya – akibat kegelojohan serta nafsu besar mengejar kejayaan secara jalan pintas – berjangkit pula ke dalam arena bola sepak wanita yang baru hendak berkembang mekar ini.
Mengabaikan pembangunan akar umbi tempatan demi meletakkan sandaran penuh kepada bakat diaspora semata-mata adalah satu bentuk pengurusan yang pemalas dan tidak bertanggungjawab.
Kehadiran Lim You patut dijadikan pemangkin untuk meletakkan kayu ukur baru dalam tadbir urus bakat, bukannya ubat penenang sementara buat ekosistem bola sepak negara kita.
Profesionalisme bukannya diukur pada berapa banyak gol yang dijaringkan, tetapi bagaimana kebajikan, pendidikan, sains sukan dan masa depan atlet-atlet itu diuruskan apabila mereka melangkah ke peringkat dewasa kelak.
Pun begitu, untuk harapan yang baru bertunas ini, terima kasih Lim You!
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang kini lebih memberi fokus kepada bidang penulisan serta kejurulatihan kerana semakin berusia dan semakin terkekang kudratnya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

