Imbasan Nasa bongkar kawah gergasi baru di bulan akibat hentaman asteroid
Seorang penyelidik di Nasa menemukan sebuah kawah gergasi yang baru terbentuk di bulan, satu kejadian jarang berlaku yang hanya "sekali dalam 100 athun atau lebih lama," menurut saintis.
Kawah yang dinamakan "McGetchin" itu berukuran 222 meter (730 kaki) lebar, kata Nasa dalam satu hantaran blog.
AFP melaporkan kawah itu dipercayai terbentuk pada musim bunga 2024 akibat perlanggaran komet atau asteroid dengan bulan. Penyelidik menganggarkan objek yang menyebabkannya bersaiz setinggi bangunan tiga hingga enam tingkat.
"Saintis menganggarkan impak sebesar ini berlaku di bulan kira-kira sekali dalam satu abad atau lebih lama lagi," kata Nasa.
Walaupun kawah itu sudah berada di situ selama beberapa tahun, ia hanya ditemui apabila Robert Wagner, penyelidik dengan Orbiter Pengenalan Bulan (LRO) Nasa, menyedarinya menerusi imbasan baru pada permukaan Bulan.
Kawah tersebut kelihatan sebagai "titik terang besar yang dikelilingi lingkaran gelap" oleh prob LRO, yang telah mengkaji bulan sejak 2009.
Satu kajian yang diterbitkan pada Rabu dalam jurnal Science Advances mengesahkan ia merupakan kawah baru terbesar pernah ditemui di sistem suria.
Meskipun bulan mempunyai banyak kawah yang sebahagian besarnya jauh lebih besar daripada McGetchin, penyelidikan terhadap pembentukan kawah secara masa nyata boleh membantu memahami geologi bulan dengan lebih baik.
Perkara ini seterusnya dapat menyediakan persediaan lebih baik untuk misi berkapal pada masa depan ke bulan, yang kini dirancang oleh Amerika Syarikat dan China.
Tidak seperti bumi, bulan hampir tidak mempunyai lapisan atmosfera, jadi serpihan angkasa lepas tidak memperlahankan kelajuan atau terbakar sebelum melanggar permukaannya.
/file/attachments/orphans/nasa_862092.png)
