Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu dan pimpinan parti pembangkang berhubung isu pelarian Rohingya di negara ini.

Sebaliknya, Fadhli meminta pentadbiran kerajaan hari ini berdepan situasi berkenaan dengan memikirkan langkah penyelesaian konkrit, atau berundur sekiranya tidak mampu mengendalikan masalah tersebut.

“Dalam isu Rohingya, PMX (Anwar) menyalah kerajaan pimpinan Najib (Razak) dan juga Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) - seolah-olah PAS turut jadi sebahagian dari kerajaan - yang mengalu-alukan kedatangan pelarian Rohingya.

“PMX barangkali lupa bahawa dia sendiri mengeluarkan banyak kenyataan mengalu-alukan kedatangan pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Menurut Fadhli, Anwar seolah-olah mengalami lupa ingatan kerana dia sendiri pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan menggesa kerajaan ketika itu mempertahankan nasib etnik berkenaan atas dasar kemanusiaan.

Dia mengimbau beberapa kenyataan Anwar pada April 2020 sewaktu bergelar pimpinan pembangkang, termasuk gesaan agar kerajaan tidak takut membela pelarian Rohingya dan tidak menghalau mereka meskipun berdepan kecaman masyarakat tempatan.

“Anwar muncul dalam satu video menggesa kerajaan Malaysia jangan sekali-kali menghalau Rohingya dan membiarkan mereka kelaparan sekalipun berdepan dengan kecaman rakyat tempatan.

“Ertinya, sewaktu kamu pembangkang kamu sibuk menggesa kerajaan bela Rohingya atas dasar kemanusiaan, bahkan kamu kecam kerajaan kerana masih belum cukup berperikemanusiaan. Eh tiba-tiba bila jadi kerajaan kamu pula kecam kerajaan dahulu kerana terlebih-lebih mengalu-alukan Rohingya.

“Kamu ni kenapa sebenarnya? Atau kamu sudah lupa ingatan dan hidapi amnesia? Jika begitu perlu dapatkan rawatan segera,” katanya.

Isu lambakan pelarian Rohingya terus menjadi pertikaian politik tempatan dengan pelbagai pihak menuntut jawapan jelas serta tindakan berkesan daripada pentadbiran negara bagi menangani kesannya terhadap rakyat tempatan.

Ratusan pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat UNHCR Jalan Bukit Petaling dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur 280726 Rohingya refugee moved to police station

Semalam, Anwar enyalahkan Najib dan Abdul Hadi Awang kerana sebelum ini mengalu-alukan pelarian Rohingya, namun katanya, hari ini, kerajaan pimpinannya kini terpaksa menanggung bebannya.

Kenyataan Anwar itu dibuat ketika sentimen anti-pendatang semakin meningkat di media sosial, khususnya terhadap komuniti Rohingya, dengan netizen membangkitkan kebimbangan mengenai kehadiran mereka, dakwaan salah laku serta impak terhadap mata pencarian penduduk tempatan.

"Kita lihat sejarahnya. Dulu ada perhimpunan besar diketuai Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hadi untuk mengalu-alukan kehadiran mereka. Sekarang ternyata mereka jadi beban.

"(Mereka) disambut, ada perhimpunan besar. Saya harap social media boleh mainkan balik. Ucapan oleh pemimpin masa itu dan PAS,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata, sebagai pemimpin kerajaan, Anwar perlu berhenti merengek menyalahkan orang lain.

“Hadap masalah hari ini dengan penyelesaian kamu sebagai kerajaan. Jika tidak mampu, undur dan serahkan kepada orang lain untuk menjadi kerajaan,” katanya.