'MB, Exco tiada kuasa turunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan'
Menteri Besar mahupun kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar dan perkara itu jelas tertakluk dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Angkatan Muda Harapan (AMH) berkata, undang-undang tubuh negeri tidak memberikan kuasa kepada Menteri Besar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) atau mana-mana kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sedemikian.
Sebaliknya Fasal XVI(3) memperuntukkan bahawa nasihat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dalam perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pewarisan, penyingkiran atau kekosongan jawatan Undang Yang Empat, adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/c99eaa99ffce306a2c69b33313a5ecd4.jpg)
"Peruntukan ini bermaksud Dewan Keadilan dan Undang (DKU) ialah badan yang mempunyai kata putus dalam perkara berkaitan adat Melayu serta pemilihan, pewarisan, penyingkiran atau kekosongan jawatan Undang Yang Empat.
"Keputusan Dewan dalam perkara tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, AMH berkata kerajaan negeri tidak seharusnya bertindak seolah-olah mempunyai kuasa mengatasi DKU dalam perkara yang didakwa berada di bawah bidang kuasa institusi berkenaan.
Terdahulu, kerajaan negeri Negeri Sembilan sedang berusaha mewartakan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru bagi menggantikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Ismail Lasim, pagi tadi yang berkata, bahawa pentadbiran negeri memutuskan untuk menerima pemasyhuran oleh Undang Yang Empat pada 19 April lalu untuk menurunkan Tuanku Muhriz.
“Pada hari ni saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli-ahli exco kerajaan negeri secara sebulat suara pada mesyuarat exco 15 September lalu.
"Proses pewartaan, sudah pun exco minta SUK (setiausaha kerajaan) untuk meneruskan dengan pewartaan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Seremban, hari ini.
Susulan itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencabar anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Negeri Sembilan yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz bulan lalu supaya meletakkan jawatan sekiranya mereka tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/3a401005b1c351cd39bbde8e33d6ad96.jpg)
Loke, yang juga ahli parlimen Seremban menegaskan keputusan exco mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz serta seorang pengganti berkuat kuasa serta-merta tidak berasas dari segi undang-undang.
"(Tindakan itu) boleh dianggap sebagai perbuatan derhaka terhadap Raja Pemerintah negeri," katanya.
Sementara itu, AMH mempersoal pendirian kerajaan negeri bahawa proklamasi bertarikh 19 April lalu adalah sah turut menimbulkan persoalan perlembagaan, khususnya berhubung kuasa kerajaan negeri untuk mengeluarkan atau menandatangani proklamasi tersebut.
AMH turut mempersoalkan kedudukan individu yang didakwa menandatangani proklamasi berkenaan, jika benar mereka pada ketika itu tidak lagi memegang jawatan Undang yang sah.
"Lebih serius, sekiranya kerajaan bertegas bahawa proklamasi bertarikh 19 April itu sah, pendirian tersebut akan menimbulkan percanggahan perlembagaan yang besar.
"Ia bukan sahaja boleh mempersoalkan keabsahan kerajaan negeri semasa dan keputusan pilihan raya negeri," kata kenyataan itu lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/279a926cfb4c002236e98bde642b3f86.jpg)
