DAP cabar exco letak jawatan jika 'derhaka' pada Tuanku Muhriz
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencabar anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Negeri Sembilan yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bulan lalu supaya meletakkan jawatan sekiranya mereka tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu.
"Sekiranya mereka kini tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, maka atas prinsip dan maruah, mereka sewajarnya meletakkan jawatan masing-masing," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Loke, yang juga ahli parlimen Seremban menegaskan keputusan exco mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz serta seorang pengganti berkuat kuasa serta-merta tidak berasas dari segi undang-undang.
"(Tindakan itu) boleh dianggap sebagai perbuatan derhaka terhadap Raja Pemerintah negeri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/4518e7dac7f42c554b191b04a34a9908.jpg)
“Saya ingin mempersoalkan punca kuasa exco untuk membuat keputusan sedemikian. Sesuatu keputusan exco tidak boleh dengan sendirinya mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 ataupun ketetapan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Sekiranya tindakan seumpama ini dilakukan oleh barisan exco ketika Negeri Sembilan ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Harapan, sudah tentu mereka yang selama ini gemar memperalatkan isu-isu 3R untuk menyalahkan DAP akan mengecamnya habis-habisan,” katanya dalam kenyataan.
Lebih mendukacitakan, kata Loke kebanyakan anggota exco berkenaan baru sahaja dilantik, malah ada antara mereka yang belum pernah menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri sebagai anggota exco.
“Mereka sepatutnya meneliti dan memahami terlebih dahulu peruntukan undang-undang serta punca kuasa masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kedudukan Raja Pemerintah negeri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/eb3d2473bb06041598c1039792a82bdf.jpg)
“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diturunkan takhta sewenang-wenangnya tanpa proses yang sah menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Tindakan exco membuat pengumuman sedemikian telah menimbulkan kekeliruan, menggugat tatatertib pentadbiran negeri dan mencemarkan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Besar,” katanya.
Loke menegaskan DAP tetap berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Malaysia.
“Keluhuran undang-undang serta kemuliaan institusi diraja mesti dipertahankan dan tidak boleh dipermainkan demi sebarang kepentingan politik atau peribadi,” katanya.
/file/attachments/orphans/IsmailLasim2_490242.png)
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lajim (gambar atas) berkata kerajaan negeri sedang mengambil langkah untuk mewartakan proklamasi yang mengisytiharkan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru bagi menggantikan Tuanku Muhriz.
Langkah itu dibuat selepas dia mengesahkan pentadbiran negeri akan menerima proklamasi pada 19 April oleh Undang Luak Negeri Sembilan untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) menegaskan semula kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu.
Dewan berkenaan, yang bertindak sebagai badan penasihat dalam hal ehwal adat serta pelantikan dan penurunan Yang di-Pertuan Besar, menegaskan tiada kekosongan atau pengganti bagi jawatan itu “selagi jawatan tersebut diduduki secara sah”.
Secara berasingan, bekas menteri besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun turut menuduh anggota exco negeri melakukan penderhakaan terhadap Tuanku Muhriz.
Sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap anggota exco berkenaan, Aminuddin berkata dia tidak mengiktiraf pengumuman mereka semalam dan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/6c7d331f97b92ff87318fcfaadecd851.png)
