Laungan Daulat Tuanku, tangkap penderhaka bergema di KLIA
Kira-kira 200 penyokong berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sehari selepas percubaan untuk menyingkirkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mencetuskan pertikaian undang-undang.
Sebahagian penyokong memakai kemeja-T berwarna kuning yang memaparkan ilustrasi baginda dan tulisan “Waghih-waghih Nogori sayang Tuanku Muhriz”.
Anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Ali Redhauddin, yang berpakaian santai dan memakai topi besbol, turut hadir menemui penyokong yang berkumpul di hadapan Bilik Kenamaan lapangan terbang itu.
Tuanku Muhriz keluar dari bilik berkenaan kira-kira jam 10.50 malam dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta pengamal media.
/file/attachments/orphans/WhatsApp-Image-2026-09-17-at-941_794410.jpg)
Mereka kemudian menyambut baginda dengan laungan “Daulat Tuanku!”
Ketika baginda bersalaman dengan penyokong, isteri baginda Tuanku Aishah Rohani dilihat mengesat air mata.
Orang ramai mengiringi Tuanku Muhriz hingga ke sebuah kereta BMW yang menunggu sambil melaungkan “tangkap penderhaka”.
Ketika baginda berada di dalam kereta dengan tingkap diturunkan, para penyokong menyanyikan lagu kebesaran Negeri Sembilan.
Penganjur himpunan malam ini, Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Megat D Shahriman Zaharudin pada sidang media mengecam keras pihak yang menentang Tuanku Muhriz.
Menyifatkan tindakan mereka sebagai “penderhakaan”, Megat menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya, termasuk menangkap atau memenjarakan mereka.
“Dan mereka sebenarnya telah melakukan satu, dalam Islam, dosa besar dandalam bahasa biasa, telah melakukan satu jenayah yang sangat besar.
"Jadi saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan, menangkap atau masuk ke dalam penjara apa yang patut dari segi undang-undang,” tegasnya.
/file/attachments/orphans/image151_896508.jpeg)
Terdahulu, poster yang tersebar di media sosial menyeru orang ramai dan beberapa NGO berkumpul di tempat letak kereta aras lima Terminal 1 bagi menyambut serta menyatakan sokongan kepada baginda.
Perhimpunan menyambut Tuanku Muhriz malam ini dikatakan anjuran NGO Profans, Waris Dato Siamang Gagap, Waris Negeri Sembilan dan Pekan.
Pengamal media dan wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mula berkumpul di balai ketibaan KLIA sejak jam 7.45 malam. Penerbangan yang membawa Tuanku Muhriz difahamkan tiba di Terminal 1 KLIA pada jam 9.50 malam.
Kepulangan Tuanku Muhriz hari ini ketika pertikaian mengenai kedudukan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semakin memuncak.
Menteri Besar Ismail Lasim pada sidang media pagi tadi, mengesahkan pentadbiran negeri telah membincangkan dan memutuskan sebulat suara pada 15 September untuk menerima perisytiharan Undang Negeri Sembilan bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Katanya, setiausaha kerajaan negeri telah diarahkan meneruskan proses pewartaan perisytiharan itu mengikut peraturan sedia ada.
Exco negeri turut mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin berkata menurut Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, turun takhta dan pelucutan jawatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang, terletak di bawah bidang kuasa DKU.
Katanya, nasihat DKU berhubung perkara itu bersifat muktamad serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pula berpandangan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku pemerintah negeri adalah tidak sah.
AGC berkata menteri besar dan exco negeri tidak mempunyai kuasa sepihak untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Esok, Tuanku Muhriz dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir di Seri Menanti, Kuala Pilah.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa NGO juga dilaporkan merancang mengadakan perhimpunan solidariti untuk baginda di lokasi sama selepas solat Jumaat.
/file/attachments/orphans/WhatsApp-Image-2026-09-17-at-9452_900025.jpg)
